Pemimpin utama PAS perlu belajar politik matang – Armand

0
2
https://www.facebook.com/photo/?fbid=616774456387858&set=pb.100063722049078.-2207520000

PEMIMPIN utama PAS perlu belajar menghormati dan matang berpolitik agar tidak mengeluarkan kenyataan mengguriskan hati rakan politik.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, meskipun Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak menyertai PAS bersama Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, namun sikap hormat-menghormati perlu dikekalkan memandangkan kerjasama di peringkat Kerajaan Keluarga Malaysia masih berlangsung.

“Saya rasa nak tegur Ketua Pemuda PAS dan beberapa pemimpin utama PAS yang mengeluarkan kenyataan cuba mengguriskan perasaan kepimpinan Umno, barisan ahli Umno dan juga penyokong Umno.

“Di mana apabila mereka berkempen di PRN Johor, mereka mengeluarkan ungkapan, kenyataan yang tidak baik untuk sebuah parti politik yang matang.

“Tetapi apabila Ketua Pemuda PAS mengeluarkan kenyataan begitu, ini menggambarkan beliau tidak mempunyai kematangan dalam politik iaitu menjaga hubungan komposisi parti-parti di peringkat pusat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari mendakwa Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi boleh bertukar warna sepantas kilat, selain bersikap seperti seorang ahli sihir.

Kenyataan Ahmad Fadhli itu bagi membalas kenyataan Ahmad Zahid yang menyindir Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan mengesyorkan Presiden PAS itu menukar kerjaya daripada ahli politik kepada ahli zoologi, susulan gelaran “itik patah kaki” kepada Umno baru-baru ini.

Pada masa sama, Armand yang juga ahli Dewan Negara menyeru Ketua Pemuda PAS itu mencontohi Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mengamalkan politik matang dan kedamaian.

“Jadi saya nak beritahu kepada Ketua Pemuda PAS agar berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan atau bertutur. Jangan berhujah mengikutkan sentimen perasaan, emosi dan sebagainya.

“Belajar daripada Ketua Pemuda Umno yang tidak pernah menghina, mencerca tetapi mencari pendekatan untuk bermuzakarah untuk mencari jalan penyelesaian.

“Jadi kepada pemimpin-pemimpin PAS, Bersatu dan juga Perikatan Nasional agar berhati-hati memberi kenyataan terhadap Umno,” katanya.

Justeru, Armand mengingatkan semua parti politik mengamalkan politik matang dan saling menghormati antara satu sama lain.

“Saya selaku pemimpin Umno dan Barisan Nasional nak beritahu kita menghormati semua partisan politik, rakan-rakan politik kita BN dan PN, waima dengan musuh kita PH pun kita hormati tetapi kita bermatang dari segi mengeluarkan tutur bicara dan bicara.

“Belajarlah bermatang dalam politik. Kalau nak lawan Umno dan BN, kita tidak pernah gentar, kita sanggup hadapi siapa sahaja untuk calon parti politik pada PRN Johor,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here