I-Citra RM10,000: Najib sambut baik desakan Ketua Pemuda PN

0
1

DESAKAN Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari agar kerajaan benarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) RM10,000 untuk pencarum yang terjejas disambut baik Datuk Seri Najib Razak.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, isu pengeluaran i-Citra RM10,000 telah dibawa ke mesyuarat jemaah Kabinet namun tidak berjaya diluluskan.

“Walaupun dulu dia pernah kata ia adalah syarat Puteri Gunung Ledang, saya amat gembira melihat Ketua Pemuda PN akhirnya menyokong permintaan pengeluaran terakhir KWSP RM10k bagi pencarum terjejas hari ini.

“Tapi dia tidak patut dan tidak adil untuk salahkan PM9 (Ismail Sabri Yaakob) sahaja atau pun berasa hairan sebab permintaan ini belum disambut walaupun permintaan ini memang antara keputusan MKT Umno semasa kami sokong Ismail Sabri menjadi PM.

“Setahu saya, isu i-Citra RM10k ini telah dibawa ke mesyuarat Kabinet PM9 untuk dibincang tetapi telah dibantah oleh beberapa menteri-menteri Bersatu, Menteri Kewangan yang dilantik Bersatu dan parti-parti lain,” katanya di Facebook, hari ini.

Sehubungan itu, Najib meminta semua ahli jemaah Kabinet mencontohi Ahmad Fadhli untuk menyokong pengeluaran i-Citra RM10,000 ini.

“Memandangkan PN telah kata sokongan bagi PM9 adalah bersyarat dan dia memang calon PN sebagai Perdana Menteri maka saya harap Ketua Pemuda PN ini akan suruh menteri-menteri PN yang pernah bantah sebelum ini untuk U-turn dan sokong permintaan i-Citra RM10k kali terakhir ini pula.

“Sekiranya kesemua menteri-menteri Bersatu, PAS dan Umno sama-sama bersetuju kali ini untuk diluluskan dalam mesyuarat Kabinet, maka tiada sebab ia tidak dapat dipermudahkan secepat mungkin. Mohon jasa baik Ketua Pemuda PN ini,” katanya.

Terdahulu, dalam hantaran di Facebook, Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda PAS mendedahkan pengeluaran i-Citra kali terakhir itu tidak berjaya direalisasikan berikutan tidak mendapat sokongan menteri-menteri Bersatu dalam mesyuarat jemaah Kabinet.

“Isunya ialah, kenapa Perdana Menteri dari Umno masih belum benarkan lagi? Bukankah sebahagian pemimpin Umno sendiri yang putuskan bahawa ia wajib diberikan kepada pencarum yang terdesak? Itu yang saya tanya dalam ceramah di Johor dua hari lepas.

“Datanglah jawapannya, bahawa Perdana Menteri mahu laksanakan, tetapi Menteri Kewangan tidak mahu. Ia boleh sahaja dihujahkan sebenarnya, wujudkah arahan Perdana Menteri itu.

“Tetapi tak apalah kita terima dulu hujah ini bahawa Perdana Menteri memang mahukan pengeluaran I-Citra ini selaras tuntutan beberapa pemimpin Umno, tetapi Menteri Kewangan yang enggan,” katanya.

Ahmad Fadhli juga menyatakan sekali lagi bersetuju dengan tuntutan pengeluaran KWSP 10,000, tanpa meletakkan syarat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here