MAJLIS PEMULIHAN Negara (MPN) digesa supaya mencari idea besar dalam membawa keluar daripada belenggu ekonomi dan trauma pandemik Covid-19.
Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pihak yang menggalas tanggungjawab mengetuai MPN, wajib melihat semua aspek sebagai satu keperluan mendesak termasuk kejayaan negara jiran Indonesia.
Beliau berkata, baru-baru ini Menteri Pariwisata dan Ekonomi Kreatif Indonesia Sandiaga Salahuddin Uno, telah berkongsi di dalam halaman Instagram beliau petikan berita ‘Bye-Bye Malaysia-Thailand, Ekonomi RI Sudah Pulih Duluan’ dari Detik Finance bertarikh 10 Februari 2022.
“Secara ringkasnya menunjukkan bahawa Indonesia sudah keluar dari belenggu kelembapan ekonomi dan berada dalam jajaran kedudukan sebelum pandemik.
“Keadaan itu sekali gus meletakkan Indonesia sebagai negara Asia tenggara yang menyusul langkah Singapura, Korea Selatan, China dan Amerika Syarikat dan beberapa ekonomi maju yang lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, paling penting Indonesia mempunyai kerajaan yang stabil dan kuat yang membolehkannya membuat banyak keputusan besar dan kritikal dengan berkesan dan lancar.
“Sebab itulah Umno sangat menitik beratkan kestabilan. Perkara ini tidak akan dapat dicapai kalau kita berada dalam situasi yang sentiasa diugut-ugut oleh pihak lawan.
“Seperti di Johor sebelum ini, 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerajaan, 27 ADUN Pembangkang dan 1 Speaker Dewan dari blok pembangkang ia adalah satu kedudukan yang sangat rapuh, malah boleh dianggap ‘hung assembly’,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, pelaburan adalah bergantung serta dipengaruhi oleh kestabilan politik dan dalam hal itu kepimpinan MPN perlu mencari idea besar untuk membawa keluar negara dari belenggu ekonomi dan trauma pandemik.
“Berhentilah menyalahkan semua pihak, khususnya Umno.
“Setakat ini, Pengerusi MPN (Tan Sri Muhyiddin Yassin) belum pun memutuskan atau membentangkan apa-apa pelan besar untuk membawa Malaysia keluar dari pandemik dan belenggu ekonomi.
“Saya tidak pasti sama ada MPN akan memulihkan negara kita, atau barangkali negara sebenarnya yang perlu memulihkan MPN,” sindirnya. – Malaysiapost

