JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mengesahkan kejadian seekor gajah menceroboh Kem Sri Banding di Gerik, yang tular di media sosial.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata gajah itu menceroboh gudang simpanan rangsum tentera di kem berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tidak pasti bila sebenarnya kejadian itu berlaku kerana ia kerap terjadi.
“Kem itu ada pagar eletrik… mungkin ada kerosakan, voltage drop,” katanya seperti dilapor Astro Awani.
Yusoff berkata, kawasan Hutan Belum, Temengor dan sekitarnya menjadi habitat gajah dan haiwan liar itu pernah juga dilihat di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Titiwangsa.
Menurutnya, bau makanan khususnya yang masin selalunya menarik kehadiran gajah-gajah kerana dietnya boleh berubah.
“Sebab itu kita nasihatkan orang ramai jangan beri hidupan liar makan. Sisa-sisa makanan yang tidak diurus dengan betul, bila hidupan liar makan secara perlahan-lahan akan mengubah diet mereka.
“Tabiat hampir semua binatang, mereka akan datang semula ke lokasi mereka cari makan, lebih-lebih lagi kalau tempat yang pernah dikunjungi itu mudah untuk mendapatkan makanan dan sedap pula dengan ada masin garam,” katanya.
Terdahulu, satu rakaman video tular memaparkan seekor gajah merosakkan beberapa peralatan menerusi luar tingkap di sebuah premis dipercayai milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Video berkenaan turut disertakan dengan keterangan mengenai lokasi kejadian iaitu di Kem Sri Banding, membabitkan premis stor simpanan rangsum atau makanan tentera ketika menjalani latihan atau misi.
Pada Januari 2018, media pernah melaporkan mengenai gangguan gajah di Kem Sri Banding yang berkesudahan dengan kematian gajah terbabit akibat terkena renjatan elektrik.- Malaysiapost

