‘Tidak mudah pertahankan hubungan parti-parti dalam kerajaan PN’

0
1

SEORANG pemimpin PAS mengakui tidak mudah mempertahankan hubungan antara Umno dan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN) serta Bersatu dan sebahagian PKR yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) terdahulu.

Ia susulan beberapa isu dan saling tidak sependapat melibatkan kesemua parti terlibat.

Perkara itu itu dinyatakan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, menerusi siaran langsung di Facebook miliknya semalam.

“Dengan tertubuhnya MN pada 14 September 2019, maka ia menjadi satu titik kejayaan besar kepada PAS.

“Dikala itu kalau kita berbincang tentang Umno… dikatakan penyamun, korupsi… namun perkara itu tidak berbangkit ketika itu kerana pada masa itu, kita fokus kepada muafakat umat.

“Ketepikan apa yang berlaku sebelum ini, kerana ada perkara besar yang kita mahu iaitu bersama menyatukan umat.

“Jadi Muafakat Nasional adalah medium untuk kedua-dua parti berbincang bagi membetulkan segala kesilapan yang lampau yang berlaku antara dua parti ini,” katanya.

Bekas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu berkata, kesatuan yang berlaku itu bukan secara spontan tetapi hasil perancangan halus dan berstrategik oleh Jawatankuasa kerja PAS Pusat dipimpin Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang hingga akhirnya termeterai.

“Jadi, kejayaan menubuhkan kerajaan baharu adalah hasil kesepakatan antara parti-parti iaitu bermula dengan PAS-Umno kemudian Bersatu dan juga sebahagian PKR, justeru kesatuan inilah digeruni, tidak disukai, didengki orang lain.

“Ia kerana mereka tahu bahawa kesatuan adalah punca berkerajaan maka tentulah perpecahan adalah punca kepada kejatuhan. Justeru pastinya tindakan ini diusahakan parti berlawanan semaksimum yang boleh agar berlakunya perpecahan dan pertembungan dalam kerajaan baharu yang ditubuhkan.

“Ia tidak mudah meletakkan semua perbezaan latar belakang dalam satu kesatuan dan itu yang cuba PAS usahakan jadi itulah yang selalu kita gunakan perkataan perkasakan MN dan pertahankan PN,” katanya.

Mengulas lanjut, bekas setiausaha Majlis Syura PAS itu berkata, PN ditubuhkan setelah tertubuh kerajaan baharu maka akhirnya dipanggil kerajaan itu kerajaan Perikatan Nasional.

“Dan kemudian PAS dan Bersatu pula wujudkan satu gagasan yang dipanggil sebagai Perikatan Nasional.

“Jadi yang kita gunakan… disokong Majlis Syura ulama, dibawa ke Syura jadi kita sokong satu terma untuk PAS bergerak lebih jauh iaitu perkasakan MN dan pertahankan PN.

“Tidak mudah kita mempertahankan hubungan antara parti-parti ini walaupun berlaku apa yang berlaku kini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here