Nasihat ‘cara didik isteri’ Siti Zailah, bertentangan realiti semasa – Nurul Izzah

0
2

AHLI Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menyuarakan rasa kecewa dengan tindakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang berkongsi cara suami mendidik isteri termasuk menyebut mengenai perbuatan fizikal.

Menurutnya, sepatutnya Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff memfokuskan kepada peningkatan kes penderaan domestik selepas tempoh pandemik Covid-19.

“Ketika pandemik Covid-19, kita menyaksikan peningkatan dalam penderaan domestik dengan jumlah kes yang dilaporkan sebanyak 9,015 kes dan kebanyakannya adalah penderaan terhadap wanita.

“‘Nasihat’ yang disebut oleh timbalan menteri ini adalah merugikan serta bertentangan dengan realiti dan keperluan semasa,” katanya menerusi ciapan di laman Twitter.

Nurul Izzah juga memetik satu artikel daripada laman web Muslim Matters yang menjelaskan keperluan untuk memperbaharui etika dan peraturan Islam untuk kebaikan semua pihak.

“Mengenai perkahwinan khususnya, kita boleh menambah objektif kelima iaitu cinta. Sudah tiba masanya fiqh kita, etika dan peraturan Islam diperbaharui untuk menyelaraskan tingkah laku kita dengan nilai-nilai dan mutlak ini termasuk keadilan, belas kasihan, kebijaksanaan, kebaikan dan kasih sayang.

“Objektif mutlak ini adalah matlamat tetap yang menguasai cara yang boleh berubah dan kesejagatannya mengawal cara kita memahami syariah dalam konteks tempat dan masa yang berbeza,” katanya.

Terdahulu, Siti Zailah menerusi sebuah video berkongsi beberapa tips kepada suami dalam memainkan peranan mendidik isteri sekiranya tidak mendengar cakap ataupun degil.

Katanya, antara yang boleh dilakukan oleh suami dalam mendidik isteri jika tidak mendengar cakap adalah memberi nasihat dan pisahkan tempat tidur selama tiga hari.

Tambah beliau, bagaimanapun jika si isteri masih berdegil dan mengamalkan perkara bercanggah dengan perintah agama, suami boleh menggunakan cara sentuhan fizikal yang lembut dan tidak menyakitkan, tetapi tegas.

Kenyataan tersebut mendapat kritikan hebat kerana dianggap seolah-olah membenarkan suami memukul isteri. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here