JABATAN Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menafikan dakwaan mengenai kematian seorang remaja akibat dos penggalak vaksin Covid-19, baru-baru ini.
Pengarahnya, Datuk Dr Rose Nani Mudin, berkata siasatan JKNS mendapati isu yang tular menerusi WhatsApps itu adalah palsu.
Katanya, remaja berkenaan meninggal dunia pada 12 Februari lalu disebabkan jangkitan paru-paru dan penyakit jantung sejak lahir (congenital heart disease) yang semakin tenat.
“Ia bukannya disebabkan dos penggalak vaksin Covid-19 seperti yang didakwa. Keadaan pesakit telah diterangkan kepada ahli keluarganya dan mereka menerima penerangan mengenai punca kematian dengan baik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, siasatan pihaknya juga mendapati bahawa pesakit telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 pada 31 Julai 2021 dan dos kedua pada 21 Ogos 2021.
“Ibu pesakit dan pihak Hospital Tuaran telah mengesahkan pesakit tidak pernah mengambil dos vaksin penggalak.
“Sehubungan dengan itu, satu laporan polis telah dibuat ibu pesakit pada semalam yang menafikan bahawa kematian anaknya adalah disebabkan dos penggalak vaksin Covid-19,” katanya.
Menurut Dr Rose Nani, ibu pesakit juga menafikan bahawa ahli keluarganya yang menularkan mengenai kematian anaknya disebabkan dos penggalak menerusi aplikasi Whatsapps.
Beliau berkata, pihak Hospital Tuaran juga telah membuat laporan polis untuk siasatan dan tindakan lanjut mengenai penularan berita palsu dan gambar pesakit di aplikasi Whatsapps berkenaan.
“Kita menggesa rakyat Sabah agar tidak menularkan berita palsu dalam mana-mana media sosial atau aplikasi lain, yang bukan sahaja boleh mengelirukan orang ramai tetapi juga boleh mengancam privasi pesakit dan ahli keluarga.
“Tindakan undang-undang juga boleh diambil terhadap individu berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, JKNS bersimpati dengan keluarga pesakit dan berharap perkara seperti itu tidak berlaku pada masa akan datang. – Malaysiapost

