Anwar akui pembahagian kerusi pembangkang mencabar

0
3

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim, yakin jentera parti itu jauh lebih baik dan bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

Beliau berkata, pihaknya mengambil iktibar daripada dua PRN sebelum ini, untuk memastikan kesiapsiagaan jentera PH untuk PRN Johor.

“Harus diingat jentera parti perlu jadi benteng pertahanan mental dan jiwa untuk menangkan calon-calon kita.

“Kerja dengan ikhlas, matlamat biar jelas dan perencanaan harus teratur. InsyaAllah, berkat kerja keras, sabar dan doa berterusan kemenangan akan memihak kita,” katanya menerusi Facebook.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar menyifatkan proses menyenaraikan calon parti untuk PRN Johor, rumit dan mencabar.

Anwar juga mengakui memang terdapat masalah untuk menentukan calon yang benar-benar layak, di samping rundingan bersama parti komponen PH dan rakan pembangkang yang agak mencabar.

Katanya, apabila senarai calon sudah diperoleh pula, pimpinan parti berbelah bahagi mahu membuat pengumuman awal atau menunggu sehingga hampir hari penamaan calon.

“Kita nak bertanding 20 kerusi, yang layak ada 2,000 dan yang mengharap 20,000. Namun sampai masa kita terpaksa sempurnakan tugas, umumkan bakal calon bagi PRN Johor.

“Apabila dah dapat calon. Masalah nak umum pula. Umum awal akan timbulkan masalah tuntutan, namun jika umum (calon) lambat, kempen menjadi terlalu terbatas dan suntuk, apatah lagi dalam keadaan Covid-19 dan prosedur operasi standard (SOP) yang tidak memihak kepada kita,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pengumuman lima calon PKR Johor Selatan, hari ini.

Oleh itu, Anwar berkata, dalam mengambil kira pertimbangan berkenaan pihaknya berpendapat lebih wajar ia diumum awal bagi membolehkan jentera bergerak.

“Walaupun proses senarai calon PRN Johor agak rumit, kali ini kita berjaya memutuskan nama calon jauh lebih awal,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here