50 kematian Covid-19 dalam tiga hari ‘tidak boleh diterima’ – Kit Siang
VETERAN DAP, Lim Kit Siang berpandangan 50 kes kematian pesakit Covid-19 dalam masa tiga hari adalah sangat tinggi dan tidak boleh diterima.
Dalam satu kenyataan, beliau turut mempersoalkan tindakan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bagi menangani kadar kematian yang semakin meningkat itu.
“Malaysia telah mencatatkan 50 kematian akibat Covid-19 dalam tiga hari yang lepas masing-masing 11 kematian semalam, 15 kematian pada hari Sabtu dan 24 kematian pada hari Jumaat.
“50 kematian Covid-19 dalam tiga hari adalah sangat tinggi dan tidak boleh diterima. Bilakah Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin akan menangani kadar kematian Covid-19 yang tinggi di Malaysia?” katanya.
Kadar kematian akibat Covid-19 yang direkodkan pada bulan ini sebanyak 522 kes.
Berdasarkan data portal COVIDNOW, lima atau 44.4 peratus daripada 11 kematian yang dicatatkan semalam berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).
Kit Siang yang juga ahli Parlimen Iskandar Puteri membangkitkan Malaysia yang mencatatkan jumlah kematian per kapita tertinggi di rantau ASEAN dan Asia Timur dengan 972 kematian bagi setiap satu juta penduduk dan keempat terburuk di Asia selepas Iran, Lubnan dan Jordan, semuanya di Timur Tengah.
“Jumlah kumulatif kematian Covid-19 di Malaysia kini ialah 32,125, berbanding Jepun dengan 20,202 kematian, Pakistan (29,772), Bangladesh (28,819), China (4,638), Korea Selatan (7,081), Singapura (897) dan Taiwan (851),” katanya. – Malaysiapost

