WISMA Putra harus memandang serius berkenaan sekatan yang dikenakan kepada 15 pelancong Malaysia yang terkandas di Manila selepas sijil vaksin digital MySejahtera tidak diterima kerajaan Filipina.
Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda Umno, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham, berkata pihaknya menggesa agar isu pengiktirafan sijil vaksinasi itu diperhalusi dan dibincang di peringkat antarabangsa khususnya ASEAN dengan kadar segera.
Katanya, ia bagi memastikan diskriminasi seperti itu tidak berlaku lagi, di mana sudah terang melanggar piawaian yang telah ditetapkan di peringkat antarabangsa.
“Wisma Putra seharusnya mengambil langkah yang proaktif dengan menegaskan bahawa rakyat Malaysia juga merupakan antara pelancong yang dibenarkan memasuki Filipina
“..dan boleh berada di negara tersebut kurang daripada 30 hari tanpa visa seperti yang dinyatakan di dalam Arahan Eksekutif No.408 (s.1960) yang juga boleh dirujuk di dalam Resolusi No.159 Inter-Agency Task Force Republic of Philippines,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ikmal Hazlan berkata, seperti sedia maklum jenis vaksin yang disediakan kerajaan Malaysia telah diiktiraf di peringkat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Katanya, pertikaian berkenaan kesahihan sijil digital vaksinasi MySejahtera adalah tidak berasas kerana ianya turut diterima pakai oleh negara maju seperti Amerika Syarikat dan Singapura.
“Kerajaan Filipina tidak seharusnya menafikan hak pelawat antarabangsa kerana hak tersebut telahpun ditetapkan oleh kerajaan Filipina sendiri dan komuniti antarabangsa yang lain,” ujarnya.
Hari ini, seramai 15 pelancong Malaysia dilaporkan terkandas di lapangan terbang Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino selepas kumpulan itu tidak dibenarkan memasuki Filipina oleh pihak Imigresen berikutan menerima vaksin Covid-19 di Malaysia.
Mereka dimaklumkan oleh pihak Imigresen negara itu bahawa sijil vaksin digital dalam aplikasi MySejahtera tidak diterima sebagai bukti vaksinasi Covid-19. – Malaysiapost

