PENDAKWAH bebas, Ebit Lew terharu apabila seorang lelaki Cina dari Labuan, Sabah menawarkan diri untuk menyertai kerja dakwah bersamanya.
Menerusi perkongsian di Facebooknya, Ebit berkata, lelaki berkenaan mengakui terkesan dengan misi kebajikan tanpa mengira bangsa dan agama yang dijalankan pendakwah itu.
“Abang ‘chinese’ (Cina) datang dari Labuan ke Kota Kinabalu jumpa saya. Ingin bersama dalam kerja dakwah. Terharu sebak melihatnya.
“Baik orangnya. Beliau menangis dan kata beliau terkesan bila kita membantu tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.
Dalam hantaran sama, Ebit turut memuat naik sekeping gambar beliau bersama lelaki berkenaan sekali gus mengundang pujian netizen yang berharap individu tersebut diberikan hidayah oleh Allah SWT.
Menurut Ebit, dalam pertemuan itu, lelaki berkenaan turut menangis sebak dan memaklumkan kepada isterinya menerusi panggilan telefon.
“Beliau siap call isterinya menangis gembira dan isterinya minta doa,” katanya.
Pada 6 Februari lalu, Ebit menerusi hantaran di Facebooknya memaklumkan beliau akan berada di Sabah selama 40 hari untuk kerja dakwah. – Malaysiapost

