15 pelancong Malaysia terkandas di Manila

0
1

SERAMAI 15 pelancong Malaysia dilaporkan terkandas di lapangan terbang Lapangan Terbang Antarabangsa Manila Ninoy Aquino selepas kumpulan itu tidak dibenarkan memasuki Filipina oleh pihak Imigresen berikutan menerima vaksin Covid-19 di Malaysia.

Seorang penumpang yang enggan mendedahkan identitinya, berkata mereka dimaklumkan oleh pihak imigresen Filipina bahawa sijil vaksin digital Malaysia dalam aplikasi MySejahtera bukanlah bukti vaksinasi yang boleh diterima.

Oleh itu, pihak berkuasa Filipina tidak akan membenarkan kemasukan 15 penumpang yang tiba dalam penerbangan jam 8.30 pagi dari Kuala Lumpur pada Ahad, manakala pasport mereka juga dirampas dan diberitahu bahawa mereka akan dihantar pulang pada Selasa.

“Penumpang yang berada dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tetapi telah divaksinasi di Singapura atau United Kingdom telah diberikan akses ke negara itu tetapi mereka yang divaksinasi di Malaysia telah ditolak masuk.

“Pasport kami telah dirampas, dan kami diberitahu bahawa kami akan dihantar pulang.

“Memandangkan tiada hotel tersedia, kami terpaksa tidur di atas bangku atau lantai,” kata penumpang itu seperti dilaporkan The Star.

Penumpang itu berkata, Imigresen Filipina memaklumkan bahawa mereka perlu sama ada telah divaksin di negara lain seperti Singapura atau memiliki Sijil Vaksinasi Antarabangsa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

15 penumpang itu, yang mana 13 daripadanya warga Malaysia dan dua lagi warganegara asing, berhasrat untuk ke Filipina atas urusan perniagaan, peribadi dan kemanusiaan.

Jelasnya, Duta Besar Malaysia ke Filipina secara peribadi datang menemui penumpang yang terkandas dan mereka amat bersyukur kerana beliau cuba sedaya upaya untuk menghulurkan bantuan.

“Kami telah diberitahu bahawa Kedutaan Malaysia di Filipina telah menghantar rayuan untuk timbal balik vaksinasi pada Khamis, tetapi tiada maklumat terkini daripada Agensi Hal Ehwal Luar Filipina.

“Mereka cuba sedaya upaya untuk berunding dengan imigresen, bersama-sama pasukan Malaysia Airlines, tetapi tidak berjaya dan kini semua rakyat Malaysia terkandas,” kata penumpang itu.

Pihak berkuasa imigresen Filipina juga menegaskan bahawa Kedutaan mesti menunggu sehingga pagi Isnin (hari ini) untuk berhubung dengan Kementerian Luar Negeri bagi mendapatkan kelulusan, bermakna semua penumpang akan terkandas semalaman.

“Kami berasa kecewa kerana tidak dibenarkan masuk ke negara ini. Kami paling bimbang dihantar pulang. Kami merasakan bahawa jika kami diusir, ia akan menjadi satu kekecewaan yang besar setelah melakukan perjalanan sejauh ini.

“Kami berdoa agar kerajaan Malaysia dapat menyokong kami untuk masuk ke Filipina,” katanya.

Filipina membuka sempadannya kepada pelancong yang diberi vaksin sepenuhnya mulai Khamis lalu.

Terdahulu, Kedutaan Besar Malaysia di Manila memaklumkan berada di lapangan untuk membantu rakyat Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino untuk memasuki Filipina.

Menerusi ciapan di Twitter, Wisma Putra memaklumkan pihak berkuasa sedang berhubung dengan agensi berkaitan untuk memudahkan kelancaran proses tersebut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here