Tanggal 14 Febuari gugurnya pahlawan Leftenan Adnan

0
1

TANGGAL 14 Febuari lazimnya dikaitkan dengan hari kekasih atau Valentine’s Day, namun bagi Tentera Darat Malaysia (TDM) ianya adalah tarikh keramat hari memperingati dan menghargai pahlawan Leftenan Adnan.

Pemilihan tarikh tersebut sempena memperingati gugurnya Pegawai Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Leftenan Adnan Saidi dalam pertempuran pada 14 Februari 1942 di Bukit Candu, Singapura.

Pada tanggal 14 Febuari setiap tahun, acara khusus akan diadakan di peringkat TDM yang sebelum ini dilaksanakan RAMD memandangkan Leftenan Adnan anggota rejimen berkenaan.

Beliau lahir pada 1915 di Sungai Ramal, Kajang, sebelum menyertai Rejimen Askar Melayu pada 1933.

Pertempuran-pertempuran akhir mempertahankan Singapura termasuk pertempuran di Pasir Panjang yang lebih dikenali sebagai Pertempuran Bukit Candu sengit telah berlarutan beberapa hari.

Pertempuran selama 48 jam itu antara askar Jepun dan barisan perwira Melayu bersama Rejimen Punjabi dan British.

Jeneral Yamashita mengakui sukar untuk mematahkan semangat juang Melayu di Bukit Chandu kerana Leftenan Adnan memiliki semangat juang tinggi untuk mempertahankan tanah air.

Keberanian Leftenan Adnan bersama 42 anggota Askar Melayu yang bertempur mati-matian mempertahankan Permatang Pasir Panjang, kini kekal menjadi episod dalam lipatan sejarah.

Leftenan Adnan sebuah nama yang tidak dapat dilupakan oleh rakyat Malaysia dan Singapura.

Kisah perjuangannya difilemkan pada 2000, arahan Aziz M Osman. Filem ‘Leftenan Adnan’ ditayang pada sambutan Hari Kemerdekaan tahun berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here