TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau masih Perdana Menteri walaupun seorang pemimpin pembangkang hari ini mendakwa mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk mengambil alih jawatan itu.
Beliau bagaimanapun, tidak mahu mengulas lebih lanjut perkara itu kerana menghormati pandangan, selain menyerahkannya kepada perlembagaan dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong.
Sebagai Perdana Menteri, katanya, beliau bertanggungjawab terhadap semua rakyat negara ini tanpa mengira kaum.
“Saya di sini masih Perdana Menteri. Apapun situasi dalam negara, sebagai pemimpin negara saya bertanggungjawab kepada semua tanpa mengira Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban,” katanya di Kota Kinabalu, malam ini.
Muhyiddin berkata, rakyat mungkin tertanya-tanya sama ada dirinya masih Perdana Menteri lagi selepas Presiden PKR mendakwa beliau sudah hilang kelayakan itu.
“Kamu mungkin tertanya-tanya saya berdiri sini masih Perdana Menteri lagi atau tidak, sebab hari ini ada pemimpin pembangkang kata dia sudah dapat sokongan Ahli Parlimen dan kata saya tidak ada sokongan majoriti dan dia boleh jadi Perdana Menteri.
“Kita adalah sebuah negara demokrasi dan kita juga adalah negara yang berperlembagaan. Kita ada Perlembagaan Malaysia sebagai asas untuk kita buat keputusan.
“Jadi, apapun yang dikatakan, ini akan diputuskan dalam perlembagaan. Saya tidak mahu sentuh kerana ini kuasa Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Kata Muhyiddin, beliau adalah Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia dan rakyat negara ini juga tahu beliau menjadi Perdana Menteri selepas berlaku krisis perlembagaan dalam negara.
Katanya, disebabkan krisis itu perlu ada usaha untuk menyelamatkan negara dan beliau dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong bagi menggalas tanggungjawab berkenaan.
“Ada yang kata saya datang dari pintu belakang, pintu depan, tapi yang pasti saya datang dari pintu istana dan saya sudah angkat sumpah,” katanya. – Malaysiapost

