PRN Sabah: Saya bukan datang jajah Sabah

0
2

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan beliau datang ke Sabah bukan untuk menjajah negeri itu.

Sebaliknya, beliau menjelaskan, kedatangannya ke Sabah adalah untuk memastikan negeri itu dapat terus dibangunkan.

“Saya datang sini bukan untuk menjajah. Muka saya tak nampak macam penjajah pun, tetapi kita mahu bangunkan Sabah.

“Negeri ini ada kekayaan dan kerajaan Sabah kata ia boleh buat dan bangunkan Sabah, itu okey..tapi dalam sistem persekutuan kita mesti fikir juga hubungan antara negeri dan Pusat,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri di Luyang, Kota Kinabalu, malam ini.

Muhyiddin berkata, ada masalah yang berlaku di Sabah seperti isu sekolah dan kesihatan yang memerlukan kerjasama Pusat dan negeri untuk diselesaikan.

“Apa yang penting, bagaimana kita boleh selesaikan perkara itu bersama. Kalau sudah boleh duduk bersama sehati sejiwa itu yang baik.

“Saya faham apa masalah dan apa yang kita perlu lakukan. Bila turun ke bawah banyak cerita perlukan perhatian,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, rakyat Sabah perlu memastikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini supaya negeri dan Pusat sehaluan.

Beliau tidak menafikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal adalah rakan baiknya sejak sekian lama.

Bagaimanapun, katanya, ketika ini Ahli Parlimen Semporna itu tidak lagi sebaris atau sehaluan dengannya.

“PRN Sabah ini bukan yang biasa, ia perlukan kerjasama rakyat dengan kerajaan dan antara negeri dengan Pusat.

“Saya tidak nafi Shafie rakan baik saya, tapi lebih baik kalau dia satu baris dengan kita. Tapi sekarang ia tidak berlaku, saya di sini bantai dia dan dia di sana pula bantai saya,” katanya. – Malaysiapost