PARTI politik perlu memastikan Ahli Parlimen mereka terus mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Kata beliau, ia juga merupakan tanggungjawab parti meskipun dalam demokrasi, sebarang sokongan yang diberikan adalah hak masing-masing.
“Dalam demokrasi itu (beri sokongan kepada Parti Keadilan Rakyat) hak masing-masing, tapi bagi kita parti bertanggungjawab mengawal ahli-ahli Parlimen bagi memastikan mereka mendokong kerajaan PN.
“Saya bercakap dalam konteks PAS, bahawa kita kekal dengan kerajaan PN,” katanya dalam sidang akhbar Sambutan Hari Ozon Sedunia 2020 dan Pra Pelancaran Hari Alam Sekitar Negara 2020, seperti dilaporkan Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata demikan merujuk kepada kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai tidak akan menghalang Ahli Parlimennya yang ingin menyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Ahmad Zahid turut memberitahu, sedia maklum mengenai terdapat ahli-ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) menyatakan sokongan mereka kepada Anwar.
Ini berikutan kenyataan Presiden PKR itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim tengah hari tadi yang mendakwa beliau mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu dalam masa terdekat.
Dalam masa sama, Tuan Ibrahim berkata, beliau mencabar Anwar untuk menyenaraikan nama ahli Parlimen yang menyokong beliau bagi membuktikan dakwaan itu benar.
“Bagi PAS, jelas kita menyokong kerajaan PN dan tidak timbul soal untuk kita menyeberangi atau menyokong yang lain.
“Setakat ini semua setiausaha agung parti telah mengeluarkan kenyataan bersama dan saya kira itu sudah cukup,” katanya. – Malaysiapost

