Mufti Perlis bidas pemimpin PH, didakwa main sentimen agama

0
2

MUFTI Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin membidas beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang mendakwa dua kanak-kanak yang dilarikan ke Perlis dilindungi pihak berkuasa agama di negeri itu. 

Beliau turut menyelar pemimpin-pemimpin PH yang sewenang-wenangnya menggunakan isu tersebut untuk mencetus sentimen agama dan menanam kebencian perkauman. 

“Jangan menghasut orang ramai agar bermusuh dengan pihak berkuasa agama. Itu politik murahan dan boleh menjahanamkan negara kita yang harmoni ini,” katanya di Instagram, hari ini. 

Tanpa menamakan pemimpin berkenaan, Mohd Asri juga kesal dengan tindakan mereka yang membuat laporan polis dan menviralkan cerita seolah-olah dua kanak-kanak itu dipaksa, kemudian dilarikan ke Perlis dan mendapat perlindungan pihak berkuasa agama negeri itu. 

“Dengar baik-baik! Saya baru saja meminta laporan kes ini dan telah bertemu anak-anak ini semalam. 

“Laporannya pada Julai 2020 mereka dibawa oleh bapa mereka ke Perlis untuk menganut secara rasmi (ada dokumen). Mereka tinggal di Pulau Pinang,” katanya menerusi hantaran itu. 

Mohd Asri menjelaskan, ibu mereka mendapat hak penjagaan pada Mac 2021 namun tidak kelihatan menuntut anak-anak itu, maka pihaknya tidak mengetahui berhubung keputusan tersebut.

“Semasa pihak Pulau Pinang menghantar mereka ke Perlis untuk diberikan pendidikan dan kebajikan, kami menerima sebagai tanggungjawab tanpa tahu isu mahkamah tersebut. 

“Adalah menjadi tanggungjawab kami dan seluruh kaum Muslimin melindungi dan memberikan kebajikan kepada saudara-saudara baru yang memerlukan. Itu yang kami lakukan,” katanya. 

Namun, jelas Mohd Asri, beberapa pemimpin PH bersama ibu kanak-kanak tersebut tampil dan menggambarkan anak-anakya telah dilarikan. 

“Itu tidak benar, mereka menganut agama Islam dengan bapa mereka dan terus ingin menjadi orang Islam,” katanya. 

Justeru, Dr Mohd Asri mengingatkan pemimpin PH agar berhati-hati apa yang diperjuangkan. 

“Kami bukan badan politik untuk terlibat dalam permainan tersebut. Anak-anak itu telah menganut Islam tanpa paksa. 

“Maka tanggungjawab kami untuk berusaha menjaga hak mereka untuk terus Islam, Insyallah,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here