KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyahut seruan kerajaan agar anak-anak diberi perlindungan suntikan vaksin Covid-19.
Menerusi laman Facebook miliknya, beliau turut berkongsi kisah dua orang anaknya menerima suntikan vaksin itu hari ini.
“Balik dari Sabah sebelum bergerak ke Johor pula, sempat bawa Azzah dan Azzam ambil vaksin dos pertama. Ramai juga yang sangsi berkenaan dengan keberkesanan vaksin.

“Prinsip saya mudah sahaja, segala penyakit hanya boleh disembuhkan dan dipelihara kita semua oleh Allah.
“Vaksin hanyalah sebahagian daripada ikhtiar yang dituntut oleh Allah. Selebihnya kita serahkan semutlaknya kepada Yang Maha Berkuasa,” katanya di Facebook, hari ini.
Sementara itu, sehingga semalam, data di laman COVIDNOW menunjukkan seramai 135,478 atau 3.8 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids). – Malaysiapost

