‘Kluster mahkamah’ terus hantui Muhyiddin – Khaled Nordin

0
2

KASIHAN Muhyiddin, demikian ringkas kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengenai tingkah laku Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sejak kebelakangan ini dilihat serba tidak kena.

Menurut Naib Presiden Umno itu, rupa-rupanya Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac nanti adalah untuk menentang ‘kluster mahkamah’.

“Saya kasihan benar dengan Presiden Bersatu ini. Benar-benar beliau ketandusan kecerdasan. Siang dan malam, tidur tak lena, mandi tak basah kerana di bayangi dengan kluster mahkamah.

“Rupanya penglibatan Bersatu dalam PRN Johor hanya untuk menentang ‘kluster mahkamah’. Tiada rencana konkrit, lakaran masa depan dan cita-cita yang segar.

“Yang lagi pelik ialah, tiada seorang pun yang beliau gelar kluster mahkamah itu bertanding di Johor atau ada kena mengena dengan pentadbiran Kerajaan Johor,” katanya di Facebooknya, hari ini.

Semalam, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri mendakwa satu-satunya cara untuk menghalang kluster mahkamah daripada kembali berkuasa ialah dengan mengalahkan Barisan Nasional (BN) pada PRN Johor.

Khaled turut membidas Muhyiddin yang dilihat masih tidak ‘moved on’ kerana terperangkap dengan gaya politik ciptaannya sendiri.

“Beliau terus terbelenggu dengan kluster mahkamah, istilah ciptaan beliau, sedangkan seluruh negara telah jauh bergerak ke hadapan, mencari kestabilan, memulih ekonomi dan mencipta masa depan,” katanya.

Sehubungan itu Khaled menegaskan, jangan sesekali Muhyiddin mengheret rakyat Johor ke kancah ketidaksukaan beliau terhadap tokoh tertentu.

“Yang utama kepada rakyat Johor ialah mencari kerajaan yang stabil dan boleh memulihkan semula ekonomi.

“Mantan Perdana Menteri ke-8 sedang berhadapan dengan krisis paling besar dalam perjalanan politik beliau,” katanya.

Mengulas lanjut, Khaled menyifatkan Muhyiddin berada dalam situasi terdesak susulan kehilangan sokongan sebagai Perdana Menteri, tewas di PRN Melaka, gagal bertapak di Sarawak dan kecundang dalam usaha memikat kerjasama dengan Umno.

“Muhyiddin kini hanya ada Pas sebagai sandaran. Ini kerana dari sehari ke sehari, semakin ramai pimpinan dan ahli Bersatu keluar meninggalkan parti.

“Karma talkin beliau terhadap Umno kembali menghantui Bersatu. Semuanya ciptaan beliau sendiri, bukan orang lain,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here