PELAJAR perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ketari, Bentong, Pahang yang dilaporkan hilang sejak Khamis lalu dikesan tidak pulang ke rumah selepas tamat waktu persekolahan pada hari berkenaan.
Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan P Pavitra, 15, pada jam 4.41 petang, kelmarin.
Menurutnya, remaja berkenaan tinggal bersama ibu saudaranya sejak hampir setahun lalu, manakala ibu bapanya menetap di Kuala Lumpur.
“Hasil siasatan awal polis mendapati mangsa merupakan pelajar SMK Ketari tidak pulang ke rumah selepas waktu persekolahan kira-kira jam 12 tengah hari.
“Ibu saudara mangsa yang berusia 48 tahun menerima panggilan telefon daripada bapa mangsa yang memaklumkan pemandu van berusia 60 tahun memberitahu mangsa tidak menaiki van selepas tamat waktu sekolah,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru, beliau memohon mana-mana saksi yang melihat mangsa supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di talian 09-222 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Semalam, hebahan mengenai kehilangan Pavitra dibuat melalui Nur Alert dan dikongsikan menerusi platform media sosial Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk laman Facebook Polis Bentong.
Pavitra yang mempunyai fizikal dengan ketinggian 166 sentimeter dan berat 55 kilogram, berambut hitam serta berbadan kurus kali terakhir dilihat memakai pakaian pendidikan jasmani SMK Ketari dan berseluar hitam. – Malaysiapost11:13 AM

