PRN Johor: MUDA tak setuju 3 kerusi ditawar PKR – Napsiah

0
1

KEPUTUSAN sama ada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa ditandingi parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) atau tidak bergantung pada rundingan yang sedang dilakukan parti itu dengan PKR.

Perkara itu didedahkan oleh Ketua Wanita PKR Napsiah Khamis Maharan yang mendakwa, MUDA menuntut tiga kerusi DUN boleh menang daripada PKR sebagai tukar ganti DUN Puteri Wangsa.

“Sebenarnya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Presiden MUDA) tidak setuju tiga kerusi yang PKR tawarkan kepada MUDA untuk parti itu lepaskan Puteri Wangsa kepada PKR.

“Dia tak nak, kerana pada dia itu bukan kerusi boleh menang. Dia nak kerusi-kerusi yang dimenangi oleh Bersatu pada pilihan raya umum lalu,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost, hari ini.

Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal diadakan 12 Mac depan, beberapa kerusi DUN menjadi rebutan pihak pembangkang untuk ditandingi.

MUDA dipercayai menuntut kerusi boleh menang Gambir dan Larkin tetapi PKR menawarkan kubu Umno di Sri Medan, Semarang dan Benut.

Terdahulu, Amanah menyerahkan kerusi DUN Puteri Wangsa kepada MUDA untuk ditandingi namun mendapat pertikaian hebat daripada PKR.

Ianya tidak disenangi PKR yang mendakwa tindakan Amanah itu adalah satu pengkhianatan terhadapnya yang sebelum ini terpaksa bertolak ansur untuk membenarkan Amanah bertanding di DUN berkenaan.

Dalam pada itu, Napsiah menegaskan, rundingan PKR dengan MUDA yang sedang berjalan ketika ini akan menentukan hala tuju kerjasama hubungan antara kedua-dua parti itu untuk PRN Johor.

“Kedua-dua parti masih berunding mengenai perkara ini. Kita tunggu sahajalah, mungkin dua atau tiga hari lagi apa keputusan sepakat yang dapat dicapai.

“Sama ada Puteri Wangsa akan ditandingi calon PKR, saya tidak boleh pastikan kerana ianya masih dalam rundingan. Jadi tunggu sahajalah.

“Rundingan ini amat penting kerana hasil keputusan itu menentukan hubungan PKR dengan MUDA. Sekarang ni belum dapat kita tentukan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here