Tambahan jawatan KKM diharap beri kelegaan kepada pegawai kontrak – KJ

0
2
https://www.facebook.com/photo/?fbid=489731622523466&set=pb.100044598962055.-2207520000..

MENTERI Kesihatan Khairy Jamaluddin berharap pertambahan perjawatan tetap dalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti diumumkan semalam, dapat meringankan kegusaran pegawai lantikan kontrak mengenai masa depan mereka.

Katanya, selain pertambahan lebih 11,000 lantikan tetap pegawai perubatan, pegawai pergigian, pegawai farmasi, pakar perubatan dan pakar pergigian bermula tahun ini hingga 2025, mereka juga akan mendapat faedah yang tidak dinikmati sebelum ini.

“Ini dengan penawaran Program Latihan Kepakaran & Parallel Pathway bagi para Pegawai Perubatan dan Pergigian lantikan kontrak.

“Selain itu, pegawai perubatan, pergigian dan farmasi yang diluluskan pelanjutan kontrak selepas khidmat wajib bakal menerima pemanjangan faedah dan kemudahan tambahan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, ia membabitkan faedah Tambang Mengunjungi Wilayah Asal; cuti tugas khas perubatan; serta cuti tibi, kusta dan barah.

“Kesemua ini adalah hasil iltizam Kabinet Keluarga Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memungkinkan penambahbaikan sektor kesihatan awam negara menerusi Mesyuarat Jemaah Menteri pada 19 Januari lalu.

“Semoga penambahbaikan ini dapat meringankan kegusaran para pegawai lantikan kontrak mengenai masa depan mereka, apatah lagi dengan peranan penting mereka sebagai petugas barisan hadapan menghadapi pandemik yang melanda kini,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here