PANDEMIK Covid-19 sejak lebih dua tahun lalu telah memberi kesan kepada pelbagai golongan masyarakat sama ada peniaga serta apa juga profesion pekerjaan.
Tidak terkecuali golongan pekerja dalam bidang penerbangan termasuk pramugara yang turut terkesan susulan industri tersebut antara paling terjejas sehingga ramai hilang pekerjaan.
Menerusi perkongsian Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di Facebooknya hari ini, beliau telah disapa oleh ketua pramugara ketika dalam penerbangan ke Kota Kinabalu.
Menurutnya, ketua pramugara itu menyampaikan keluhan beliau dan rakan-rakan lain yang amat memerlukan RM10,000 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara ‘one-off’ yang diperjuangkan Pemuda Umno.
“Dalam penerbangan ke Kota Kinabalu, saya disapa Ketua Pramugara, “Doktor, tolonglah terus berjuang untuk kami. Ramai kawan-kawan termasuk saya yang hari ini amat perlukan RM10K KWSP.
“Jadual penerbangan masih tidak menentu. Ini baru sahaja mula kerja balik. Bank asyik kejar. Hutang keliling pinggang,” katanya.
Asyraf Wajdi berkata ke mana sahaja beliau pergi demikianlah keluhan ramai yang amat terdesak mengharapkan pengeluaran kali terakhir wang simpanan mereka di KWSP. – Malaysiapost

