Muhyiddin rela dianggap pengkhianat kerana perangi skandal 1MDB

0
1
Sidang media Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin di Ibu Pejabat Perikatan Nasional (PN) Dutamas hari ini.

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui rela dianggap pengkhianat kerana mendedahkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurutnya, meskipun pernah dipecat sebagai orang nombor dua dalam kerajaan dan parti, langkahnya membongkar skandal tersebut dengan menubuhkan parti baharu selepas itu ternyata berbaloi untuk negara.

“Jika saya dianggap pengkhianat kerana mendedahkan skandal 1MDB dan menubuhkan Bersatu untuk menentang kumpulan kleptokrat dalam Umno, saya rela dengan gelaran tersebut.

“Kini terbukti perjuangan saya adalah benar. Mahkamah telah menjatuhkan hukuman bersalah ke atas Datuk Seri Najib atas kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International yang ada hubung kait dengan 1MDB,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menegaskan, skandal 1MDB bukan satu fitnah atau rekaan, malah kerajaan PN dipimpinnya telah mengutip semula lebih RM16 bilion wang dan aset berkaitan syarikat 1MDB yang diseleweng.

“Kes 1MDB masih dibicarakan di negara kita. Keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kes SRC International juga sedang dirayu di peringkat Mahkamah Persekutuan.

“Selain kes 1MDB dan SRC International, terdapat beberapa kes pecah amanah dan pengubahan wang haram yang melibatkan pemimpin Umno. Mereka ini digelar Kluster Mahkamah,” katanya.

Mengimbas kembali kejadian tahun 2015 itu, Muhyiddin menjelaskan Najib yang ketika itu Perdana Menteri, memecat beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri hanya kerana menyarankan agar isu 1MDB disiasat secara telus.

“Saya sarankan demikian supaya ia tidak menimbulkan sebarang tanggapan buruk kepada kerajaan dan parti pada ketika itu.

“Malangnya saranan saya dijawab dengan pemecatan dari kerajaan dan Umno. Ingat, saya dipecat bukan kerana skandal rasuah mahupun salah laku moral.

“Saya dipecat kerana meminta diadakan siasatan bagi memastikan mereka yang bertanggungjawab dalam kehilangan RM42 bilion wang 1MDB dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Jelasnya, Umno mendakwa beliau pengkhianat kerana bekerjasama dengan PKR dan DAP untuk menjatuhkan parti itu tetapi mereka lupa Umno jatuh kerana Presidennya yang mengheret parti kepada kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

“Kononnya sayalah yang menyebabkan kerugian kepada orang Melayu apabila menubuhkan Bersatu dan bekerjasama dengan PKR dan DAP menjatuhkan Umno.

“Mereka cuba menutup hakikat sebenar bahawa Umno dikhianati bekas Presiden sendiri, iaitu Najib. Beliau membiarkan skandal 1MDB menjadi terlalu besar dan buruk sehingga majoriti rakyat membenci Umno.

“Adakah orang Melayu telah lupa saat kita dimalu dan dipandang hina di seluruh dunia kerana skandal 1MDB? Apakah orang Umno tidak tahu punca mereka kalah adalah kerana Najib menyeret parti dalam skandal beliau?,” soalnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here