Mohd Sumali terajui PSM

0
2

TIADA pertandingan bagi Jawatankuasa Tertinggi Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) pada pemilihan sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) persatuan berkenaan yang dijadualkan Sabtu ini di ibu negara.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agungnya Datuk Abidullah Salleh, sekaligus menyaksikan Datuk Mohd Sumali Reduan akan mengisi jawatan Presiden PSM menggantikan Datuk Seri Ahmad Ismail yang meletakkan jawatan pada 5 Jun tahun lalu.

Menurut Abidullah, AGM tahun 2022 itu bagaimanapun akan berlangsung sepertimana perancangan awal sebelum ini iaitu pada Sabtu.

“Antara agenda utama AGM tahun ini adalah pemilihan Jawatankuasa Tertinggi PSM bagi penggal 2022-2025 membabitkan satu jawatan utama Presiden, dua jawatan Timbalan Presiden dan tiga jawatan Naib Presiden.

“Pada hari ini pihak PSM telah menerima kenyataan media Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (GASTAK), Zuraidin Abdullah yang telah menyatakan menarik diri dari bertanding jawatan Presiden,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata selepas tarikh tutup pencalonan pada 6 Februari lalu dan tarikh pengesahan calon bertanding ditutup hari ini, maka tiada pertandingan pada pemilihan Jawatankuasa Tertinggi PSM 2022/2025.

Menurutnya, selain Mohd Sumali sebagai Presiden, dua jawatan Timbalan Presiden pula bakal diisi Datuk Abdul Halim Suleiman dan Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Katanya, tiga jawatan Naib Presiden pula akan disandang Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, Datuk Awang Sham Amit dan Datuk Abu Jimi Samat.

“Pengesahan secara rasmi bagi semua Jawatankuasa Tertinggi itu akan dibuat pada AGM Sabtu ini.

“PSM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada semua yang telah memberikan kerjasama dalam menjayakan AGM 2022.

“Semoga kepimpinan PSM yang baharu akan memberikan sinar kepada sukan warisan budaya bangsa ini,” katanya.

Terdahulu Zuraidin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chetok dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan tidak akan bertanding merebut jawatan Presiden PSM.

Menurutnya, keputusan itu adalah bagi memberi laluan kepada Mohd Sumali yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PERSEWIP). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here