Amat kasar tuduh Umno asabiyyah – Ahmad Zahid

0
1

PRESIDEN Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu yang juga parti terbesar orang Melayu bukan parti asabiyyah atau kepuakan seperti dikatakan pihak tertentu.

Menurutnya, mereka yang menyatakan sedemikian mungkin terlupa Umno adalah salah sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, BN adalah sebuah gabungan parti politik yang dibarisi parti politik daripada pelbagai kaum dan agama.

“Berpuluh tahun Umno, MCA, MIC serta parti komponen lainnya bersama mentadbir Malaysia apakah itu asabiyyah?

“Selama kerajaan BN mentadbir negara apakah wujud unsur asabiyyah tatkala rakyatnya hidup aman dan makmur?

“Sesungguhnya tohmahan asabiyyah terhadap Umno sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor itu amat kasar dan tidak berfakta,” katanya di Facebook, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN mendakwa, mereka yang berkata demikian sebenarnya kecewa Umno tidak menuruti kehendak mereka supaya bekerjasama dengan Bersatu.

“Mereka tuduh Umno menolak perpaduan kerana enggan menyertai Perikatan Nasional (PN). Fakta sebenar adalah Umno tidak pernah menolak perpaduan yang jujur, ikhlas dan sejati.

“Sejak sekian lama Umno bersama parti komponen BN berpadu dan bekerjasama mentadbir negara ini. Apakah itu bukan perpaduan?

“Sedangkan lawan BN yang telah beberapa kali konon menjalin perpaduan sesama mereka tidak pernah berkesudahan dengan baik, angkara tiada kejujuran dan keikhlasan kerana rakuskan kuasa dan kedudukan semata-mata,” katanya.

Beliau berkata, dalam kerjasama politik tidak boleh membuta tuli kerana kerjasama perlu mempunyai persefahaman dan kesepakatan yang jelas.

“Umno menolak kerjasama dengan Bersatu tentunya kerana ketidakjujuran parti itu yang bermuslihat menamatkan Umno. Malah banyak perlakuan Bersatu jelas menunjukkan agendanya terhadap Umno disebalik propaganda perpaduan.

“Kesimpulannya, tiada siapa cuba memperbodohkan sesiapa dalam perkara tersebut. Sebaliknya hanyalah kemampuan Umno dalam menilai ‘risk and threat’ serta ‘cost and benefit’,” katanya.

Tegasnya, perpaduan mestilah terbina atas semangat persefahaman yang jitu untuk rakyat, bukan kerana kepentingan tersendiri. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here