SELAIN manifesto yang ditulis Karl Marx, manifesto 100 hari Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ciptaan Pakatan Harapan (PH) juga terkenal di seluruh dunia, kata Datuk Seri Shabery Cheek.
Menurut Ahli Majlis Tertinggi Umno itu, kedua-dua manifesto tersebut terkenal di dunia dan memiliki persamaan iaitu gagal ditunaikan apabila berjaya menjadi pemerintah.
“Dalam sejarah dunia, manisfesto paling terkenal ditulis oleh Karl Marx dan Engels di abad ke-19.
“Dalam sejarah Malaysia, paling terkenal ialah Manifesto 100 Hari PRU14 ditulis oleh seorang penulis manifesto terkenal tanah air.
“Kedua-duanya mencetus revolusi besar dunia dan tanahair. Di Malaysia dipanggil “Revolusi Inikalilah”. Kedua-duanya gagal dilaksanakan apabila berpeluang memerintah,” katanya di Facebook, hari ini.
Manifesto Pakatan Harapan (PH) yang dirangka Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan pada PRU14 lalu gagal ditunaikan kerajaan PH ketika menjadi pemerintah.
Malah, Wan Saiful dalam kenyataannya pada 2018 bersetuju manifesto PH bukan seperti kitab suci Bible, sebaliknya satu rujukan atau panduan semata-mata.
Wan Saiful yang senada dengan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, akan ada beberapa perkara tidak boleh dilaksanakan kerajaan seperti janji yang digariskan dalam Buku Harapan, susulan PH tidak memiliki data dan akses maklumat yang mencukupi ketika merangkanya. – Malaysiapost

