PENYANYI yang pernah popular menerusi lagu ‘Apo Kono Eh Jang’, Datin Mastura Ismail, 65, meninggal dunia akibat kanser ovari tahap empat di kediamannya di Taman Cheras Idaman, Kuala Lumpur, malam tadi.
Anak saudara Allahyarham yang juga penyanyi Oja memaklumkan Mastura meninggal dunia kira-kira jam 8.39 malam.
“Arwah baru sahaja dikesan mengidap kanser ovari tahap empat, beberapa bulan lalu. Sebelum itu, arwah memang selalu mengadu sakit pada bahagian perut, tetapi tidak mendapatkan rawatan.
“Sebaliknya, arwah hanya melakukan rawatan kampung. Bagaimanapun, arwah hanya bersetuju membuat pemeriksaan apabila puas dipujuk.
“Namun, keadaan kesihatan arwah semakin merosot sejak sebulan lalu apabila bahagian perut semakin membesar.
“Arwah juga pernah beberapa kali menjalani pembedahan membuang cecair pada bahagian perut,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Allahyarham Mastura mencipta nama lagu duet menggunakan loghat Negeri Sembilan, ‘Apo Kono Eh Jang’ bersama Ally Noor yang pernah mencetuskan fenomena sekitar 1980-an.
Oja yang juga peserta program realiti, Gegar Vaganza musim ketujuh itu berkata, dia bersyukur sempat membacakan surah Yassin, sebelum arwah meninggal dunia.
“Selepas beberapa hari mendapat rawatan di Institut Kanser Negara (IKN), doktor menasihatkan anggota keluarga membawa arwah pulang selepas mendapati keadaannya semakin lemah.
“Arwah dibawa pulang kira-kira jam 3 petang tadi (semalam) dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya.
Oja atau nama sebenarnya, Daninas Huza Daud berkata, jenazah ibu saudaranya itu akan dikafankan dan disolatkan di Masjid Taman Rakan Cheras sebelum dikebumikan esok sebelum waktu Zohor di Tanah Perkuburan Islam Sungai Long, hari ini.
Allahyarham Mastura yang juga seorang balu meninggalkan dua cahaya mata dan dua cucu. – Malaysiapost

