Kemunculan lagu parodi KWSP, bukti rakyat kian terdesak – Asyraf Wajdi

0
1

KEMUNCULAN lagu parodi berkaitan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) umpama ‘cendawan tumbuh selepas hujan’, menggambarkan betapa terdesaknya kehidupan rakyat ketika ini.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata dengan meningkatnya kembali kes positif Covid-19 yang mencecah lima angka menyebabkan ramai terpaksa menjalani kuarantin kendiri di rumah dan tidak dapat mencari rezeki.

“Macam-macam lagu parodi dicipta bagi menggambarkan harapan rakyat yang amat terdesak terhadap pengeluaran kali terakhir RM10K KWSP.

“Dengan kadar kes covid yang meningkat, walaupun tidak ramai yang hadapi ‘stage 3’ ke atas, namun ramai yang terpaksa melalui kuarantin kendiri hingga menjejaskan punca pendapatan mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, rakyat tidak akan menuntut pengeluaran KWSP kali terakhir jika tidak berkeadaan terdesak.

“Setiap hari kami masih menerima mesej-mesej harapan daripada pelbagai kelompok rakyat yang turut berkongsi keperitan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Mereka (berdepan) dengan hutang mencanak, komitmen bulanan tertunggak, kos sara hidup meningkat akibat harga barang naik mendadak.

“Dua hari lepas persatuan-persatuan daripada sektor pengangkutan juga sampaikan memorandum berkongsi kepayahan mereka dan turut berharap wang simpanan mereka sendiri,” katanya.

Asyraf menegaskan, Umno konsisten memperjuang pengeluaran i-Citra 10,000 sekali gus membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 meneruskan kelangsungan hidup.

“Tiada guna membicarakan masa depan jika kelangsungan hidup masa sekarang juga tiada jaminan,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here