UMPAMA pesta pergaduhan berlaku di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi yang melibatkan tuan rumah Terengganu FC II dengan Penang FC.
Adegan kejar-mengejar, ‘flying kick’ berlaku antara kedua-dua pasukan dalam perlawanan 4 Penjuru Piala Menteri Besar Terengganu.
Memetik Cakap Sukan, difahamkan pergaduhan itu tercetus selepas sepakan penalti minit terakhir separuh masa pertama yang dilakukan pemain Penang FC gagal disempurnakan dan dikata pasukan tuan rumah mula mengejek pemain lawan.
Hampir semua pemain kedua-dua pasukan kelihatan berbalas tumbukan dan berlari di sekitar padang sebelum diredakan oleh pegawai-pegawai bertugas.
Menerusi gambar yang tular di media sosial, seorang pemain Penang FC, Muhammad Adib Abdul Raop, juga dilaporkan cedera dan mengalami patah hidung.
Insiden pada minit ke-45 itu sekali gus menyaksikan perlawanan terpaksa dihentikan pengadil, Mohd Amirul Aizat Mat Lodin.
Difahamkan, pengadil turut melayangkan kad merah kepada pemain kedua-dua pasukan dan Penang FC tidak ‘keluar’ meneruskan perlawanan separuh masa kedua. – Malaysiapost

