Kemasukan pelajar IPT secara berperingkat bermula 1 Mac

0
2
Sebahagian pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) menunggu dan menaiki bas mengikut SOP yang ditetapkan untuk pulang ke kampung sempena cuti perayaan Aidilfitri di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam hari ini.

KERAJAAN membenarkan kemasukan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) secara berperingkat mulai 1 Mac ini.

Pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pelajar IPT itu termasuklah Universiti Awam, Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta.

Katanya, bagi memastikan kemasukan pelajar dilaksanakan dengan selamat, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menetapkan enam Prosedur Operasi Standard (SOP) yang wajib dipatuhi.

SOP tersebut ialah:

i. Jumlah kemasukan pelajar yang dibenarkan ialah sebanyak 70-100 mengikut kapasiti IPT masing-masing.

ii. Pelajar dan staf yang lengkap vaksinasi dan tidak lengkap vaksinasi dibenarkan masuk ke kampus. Namun bagi pelajar dan staf IPT yang tidak divaksinasi lengkap, mereka perlu membuat ujian RT-PCR dan berkeputusan negatif 3 hari sebelum masuk ke kampus.

iii. Ujian pengesanan Covid-19 menggunakan kaedah RTK-Ag perlu dilakukan seminggu sekali bagi mereka yang tidak divaksinasi lengkap, mengikut Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan yang dikeluarkan oleh KKM.

iv. Bagi pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu, hanya yang lengkap vaksinasi sahaja dibenarkan masuk ke Malaysia. Mereka juga wajib menjalani tempoh kuarantin selama 7 hari atau sekiranya telah mendapat dos penggalak, tempoh kuarantin ialah selama 5 hari.

v. IPT mestilah mempunyai kapasiti untuk menampung bilangan pelajar yang hadir secara fizikal dan sentiasa mematuhi SOP pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang ketat. Pelaksanaan PdP secara hibrid dan/atau secara dalam talian dibenarkan kepada IPT.

vi. Semua aktiviti sukan dan riadah perlu mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh KKM. Pelajar yang pulang ke kampus juga wajib terus mematuhi SOP umum seperti memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan sentiasa menjaga kebersihan diri.

Beliau yang juga Menteri Kanan Pertahanan berkata, dalam setiap kelonggaran itu, aspek keselamatan dan kesihatan rakyat termasuklah pelajar IPT tetap menjadi keutamaan.

“Sehubungan itu, Kerajaan menyeru kepada semua pihak termasuk pentadbiran IPT, staf dan pelajar agar mematuhi SOP ditetapkan.

“Sekiranya para ibu bapa, penjaga mahupun pelajar mempunyai sebarang pertanyaan lanjut, hubungi Bilik Gerakan Covid-19 KPT di talian 03-8870 6777/6949/ 6623/6628, layari laman web IPT atau terus hubungi Pegawai Penyelaras di IPT masing-masing,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here