TELEKOM Malaysia Bhd (TM) menjelaskan Menara TM bukan milik syarikat komunikasi itu, sebaliknya disewa pihaknya.
TM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya langsung tidak terlibat dalam penjualan bangunan berkenaan.
“Telekom Malaysia Bhd ingin menjelaskan bahawa syarikat adalah penyewa Menara TM yang terletak di Jalan Pantai Baharu Kuala Lumpur.
“TM tidak memiliki bangunan tersebut dan tidak terlibat dengan tujuan penjualannya oleh pemilik hartanah Menara ABS Bhd,” menurut kenyataan itu.
Menurut TM, syarikat mereka kini dalam proses memindahkan sebahagian besar pejabat korporatnya ke hartanah milik TM termasuk TM Annexe 1 dan TM Annexe 2 serta hartanahnya di Cyberjaya.
Katanya, tindakan itu sebagai sebahagian daripada program pengoptimuman syarikat untuk membolehkan kecekapan dan ketangkasan yang lebih tinggi dan untuk menampung keadaan kerja secara hibrid.
Media hari ini melaporkan TM mengiklankan tawaran jualan aset miliknya iaitu Menara TM yang terletak di Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur.
Iklan berkenaan disiarkan dia akhbar The Star hari ini dan juga di portal propertyguru
Bagaimanapun, harga bagi bangunan setinggi 55 tingkat itu dengan keluasan 989,200 kaki persegi itu tidak didedahkan.
Tarikh tutup peringkat pertama bagi jualan Menara TM adalah pada jam 12 tengah hari pada 18 Mac ini. – Malaysiapost

