KERAJAAN khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu menyelesaikan isu barangan keperluan terutama harga ayam dan telur dengan lebih konkrit dan berani demi meringankan beban rakyat.
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pengumuman harga maksimum runcit bagi ayam standard dikurangkan sebanyak 20 sen belum cukup signifikan untuk membantu rakyat berdepan kenaikan kos sara hidup.
“Malah keputusan dibuat pada Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) itu berdepan sindiran sinis sebilangan rakyat Malaysia.
“Jadi, sepatutnya ada solusi yang jauh lebih konkrit oleh MAFI untuk mengurangkan harga barangan. Begitu juga peranan lebih cemerlang KPDNHEP dalam menangani isu yang sama.
“Bagaimanapun sehingga hari ini kita belum lihat penurunan ketara harga barangan. Selain telur, harga ayam bersih standard masih antara RM8 hingga RM9 sekilogram. Begitu juga harga ikan, daging, sayur masih tinggi,” katanya menerusi Facebook.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pelbagai inisiatif yang diumumkan untuk mengurangkan harga barang sebelum ini termasuk mengimport ayam belum terlihat keberhasilannya.
“Justeru, harga telur dikurangkan 20 sen bukan suatu perkhabaran yang melegakan. Rakyat perlukan sebuah ketetapan yang menyeluruh untuk membantu kehidupan mereka,” katanya.
Jelasnya, lontaran pendapat beliau ini bukan bertujuan menuding jari, sebaliknya menyampaikan suara rakyat yang masih resah berdepan peningkatan harga barang keperluan.
“Justeru, kita berharap kerajaan sedia ada dapat melakukan suatu tindakan yang jauh lebih berani dan berkesan dalam menyantuni permasalahan rakyat ini.
“Isu berhubung peningkatan kos pengeluaran barang keperluan yang sering dijadikan alasan harus diperhalusi bagaimana untuk menanganinya.
“Begitu juga tentang dakwaan isu ‘orang tengah’ dan manipulasi bekalan oleh pihak tertentu untuk menetapkan harga tinggi wajar diteliti sebaik mungkin,” katanya.
Beliau berkata, perkara ini perlu ditangani segera supaya rakyat dapat melangsungkan kehidupan tanpa rasa kebimbangan.
“Selepas sambutan Tahun Baharu Cina, tidak lama lagi negara akan menyambut ketibaan Ramadan dan seterusnya meraikan sambutan Aidilfitri.
“Jika isu harga barang keperluan ini tidak ditangani dari sekarang, kita khuatir ia akan berlarutan untuk tempoh yang lebih lama sekali gus terus menekan rakyat,” katanya.
Tambahnya, kerajaan Barisan Nasional (BN) semasa mentadbir negara telah merangka pelbagai akta, peraturan, dan undang-undang untuk berdepan permasalahan tersebut maka gunakan sebaik mungkin. – Malaysiapost

