Nurul Huda Abhar
TAN Sri Muhyiddin Mohd Yassin hari ini, mengumumkan bantuan tambahan untuk rakyat melalui pemberian tunai di bawah Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 dengan peruntukan hampir RM7 bilion.
Perdana Menteri, berkata ia mencakupi golongan B40 dan M40 yang berkeluarga dan bujang.
Beliau berkata, pakej bantuan itu merangkumi RM1,000 kepada 3.7 juta isi rumah B40; RM500 kepada 3.8 juta kumpulan B40 bujang; RM600 kepada 1.4 juta isi rumah M40 dan RM300 kepada 1.7 juta kumpulan M40 bujang.
“Bayaran BPN 2.0 akan dibuat dalam dua ansuran, pertamanya pada hujung bulan Oktober ini dan kedua pada Januari 2021.
“Bagi golongan B40, bayaran ansuran pertama bulan Oktober adalah sebanyak RM700 dan kedua pada Januari 2021 sebanyak RM300.
“Kerajaan akan menyalurkan bantuan secara terus kepada 10.6 juta penerima yang telah diluluskan di bawah BPN sebelum ini. Bagi mereka yang layak tetapi tidak pernah menerima BPN, kerajaan akan memberi peluang untuk rayuan dan permohonan baharu,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika pengumuman Kerangka Inisiatif Tambahan Khas : Kita Prihatin yang disiarkan secara langsung, hari ini.
Selain itu, katanya kerajaan memahami dan prihatin terhadap majikan dan pekerja dalam sektor-sektor tertentu yang masih terjejas seperti sektor pelancongan.
Muhyiddin berkata, kerajaan akan memperkenalkan Program Subsidi Upah 2.0 bagi membantu syarikat yang masih terjejas berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tempoh hari.
“Subsidi upah diberi kepada majikan yang masih terjejas, iaitu syarikat yang sejak PKPP masih menghadapi pengurangan hasil sekurang-kurangnya 30 peratus berbanding tahun lepas.
“Subsidi upah diberi sehingga tiga bulan pada kadar RM600 sebulan untuk setiap pekerja sehingga maksimum 200 pekerja, dan permohonan dibuka dari 1 Oktober sehingga 31 Disember ini,”katanya.
Tambahnya, kerajaan turut bersetuju membuka semula permohonan Geran Khas Prihatin (GKP) mulai 1 Oktober hingga 31 Oktober 2020 untuk memastikan lebih ramai peniaga mikro yang layak berpeluang memohon bantuan tersebut.
Katanya lagi, bayaran disasarkan akan dibuat mulai 25 November 2020 dan dijangka lebih daripada 200,000 peniaga mikro akan menerima manfaat dengan melibatkan peruntukan sebanyak hampir RM 600 juta. -Malaysiapost

