MPN cadang sempadan negara dibuka sepenuhnya 1 Mac – Muhyiddin

0
2

MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) hari ini mencadangkan supaya sempadan negara dibuka sepenuhnya tanpa keperluan kuarantin wajib mulai 1 Mac ini.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sempadan negara perlu dibuka sepenuhnya dalam masa terdekat bagi menyokong pemulihan negara.

“Namun begitu, ujian Covid-19 sebelum berlepas dan sejurus tiba di pintu sempadan negara perlu dilakukan mengikut syor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pembukaan sempadan negara perlu dilaksanakan secara terancang dan berdasarkan penilaian risiko semasa,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat MPN, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, MPN telah mendengar taklimat Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengenai situasi dan perkembangan terkini Covid-19 terutamanya penularan varian Omicron.

“Walaupun terdapat peningkatan kes harian, strategi pemberian dos penggalak (booster) dan langkah kawalan KKM telah berjaya menurunkan kemasukan kes Covid-19 kategori 3-5 di hospital.

“Pemberian vaksin penggalak, remaja dan kanak-kanak akan dipertingkatkan setelah mengambil kira kemunculan varian Omicron,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, MPN mencadangkan supaya pelarasan bagi semua bantuan kewangan dapat dilaksanakan secara sistematik.

Katanya, ia bagi meningkatkan penggunaan sumber yang lebih optimum, bersasar dan berlandaskan keperluan supaya tiada pertindihan berlaku, dan lebih ramai pengusaha yang terjejas dapat terus menerima bantuan.

“MPN mengambil maklum industri pembinaan negara pada masa ini menghadapi isu kenaikan harga bahan binaan, kekurangan pekerja asing dan turut terkesan dengan PKP.

“Industri pembinaan amat penting bagi merangsang pertumbuhan ekonomi negara. Justeru, MPN menyokong cadangan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) untuk penyelesaian segera dan penyelesaian jangka masa panjang bagi isu yang lebih struktural,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan pelantikan Datuk Seri Dr Sulaiman Mahbob sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Majlis Pemulihan Negara berkuatkuasa 1 Februari lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here