DUN majoriti Melayu untuk calon Umno

0
1
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan

BEBERAPA Umno Bahagian telah menghantar permohonan untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sebelum ini ditandingi parti komponen Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata permohonan itu bukanlah satu kejanggalan dan biasa berlaku setiap kali tibanya apa-apa pilihan raya.

“Beberapa bahagian Umno memang ada menyuarakan mahu bertanding di kerusi yang sebelum ini ditandingi komponen BN. Bukan hanya di Pulai Sebatang sahaja malah beberapa kawasan yang lain. Umno melihat kesemua permohonan dan desakan itu sebagai permohonan politik yang biasa.

“Akhirnya pucuk pimpinan pusat dan negeri akan buat keputusan muktamad,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Jamuan Muhibah Tahun Baharu Cina bersama Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad di Pontian malam tadi.

Ahmad menjawab desakan beberapa Umno Bahagian yang dilaporkan mahu parti itu meletakkan calon mereka di kawasan majoriti Melayu berbanding parti komponen yang menganggap ia kerusi tradisi mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Antara yang membuat desakan itu ialah Ketua Umno Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan yang mahu calon parti itu diletakkan di DUN Kukup dan Pekan Nanas, berikutan majoriti kawasan terdiri daripada masyarakat Melayu.

Mengulas mengenai calon BN, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, perkara itu masih belum dimuktamadkan.

“Siapa yang bertanding di mana akan dimuktamadkan dalam masa terdekat. Namun setakat hari ini calon masih belum dimuktamadkan lagi,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here