Gaji minimum RM1,500 dapat tingkat kuasa beli orang awam – Zahid

0
1
zahid hamidi

PERSATUAN Majikan Malaysia (MEF) dan semua majikan harus memperhalusi cadangan kerajaan menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 sebulan.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata pihak majikan secara amnya perlu menzahirkan empati yang lebih mendalam kepada para pekerja bagi meneruskan kelangsungan hidup.

“Saya teruja dengan keputusan kerajaan untuk menaikkan gaji minimum menjadi RM1500 sebulan. Ia adalah sesuatu yang tepat pada masanya dan sangat diperlukan.

“Namun perkara ini ditolak oleh MEF menerusi Presidennya Datuk Syed Hussain Syed Husman yang berpendapat bahawa langkah tersebut akan membebankan majikan yang baru sahaja hendak bernafas semula akibat Covid-19 dan kelembapan ekonomi,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Ahmad Zahid berkata, beliau menghargai pandangan dari MEF dan berharap agar majikan melihat dalam konteks yang lebih besar dan kritikal.

Ini kerana, katanya, akan terdapat beberapa impak positif yang segera akan berhasil apabila gaji minimum dinaikkan.

Jelas beliau, berlaku peningkatan kuasa beli orang awam, khususnya dalam kalangan B40 jika gaji minimum dinaikkan sekali gus membolehkan mereka menikmati kehidupan lebih selesa dan berkualiti.

“Perbelanjaan dalam ekonomi negara akan bertambah sekali gus meningkatkan kecairan dalam pasaran serta membantu para peniaga di dalam negara. Dengan gaji yang rendah, perbelanjaan akan sedikit sekali gus menyebabkan aktiviti jual beli semakin suram.

“Memberikan ruang yang lebih baik untuk para pekerja menguruskan perbelanjaan dan keperluan harian mereka,” katanya lagi.

Katanya, beliau sedar sedikit sebanyak keputusan kenaikan tangga gaji minimum akan memberi kesukaran kepada para majikan.

Namun begitu, kerajaan tidak boleh menunggu sehingga semua majikan bersetuju dan berpendapat perkara tersebut mesti dimulakan seperti ‘alah bias, tegal biasa’.

“Jika kita terus menunggu dan menunggu, tidak akan ada masa yang sesuai dan selesa untuk majikan menaikkan gaji minimum.

“Pada masa yang sama, saya yakin semua majikan mempunyai bukan sahaja tanggungjawab sosial, tetapi tanggungjawab moral kepada para pekerja dan masyarakat secara amnya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here