‘Untuk industri hiburan kita, malu!” – Hattan

0
1

PENYANYI Datuk Hattan, 58, menyelar tindakan pihak penyiar televisyen yang hanya mengutamakan ‘rating’ berbanding mengangkat industri hiburan ke tahap lebih tinggi.

Hattan atau nama sebenar Mohd Shukri Shahabudin menerusi video di laman Instagram, mengulas berkenaan penyertaan usahawan sensasi Ahmad Iqbal Zulkefli dalam program Big Stage 2022.

“Pihak penyiar ni kena ada rasa tanggungjawab untuk mengangkat industri hiburan ke peringkat lebih tinggi.

“Apa yang cuba dilakukan (pihak penyiar)? Kalau ya pun nak rating, tak payah sampai begitu, banyak cara lain lagi.

“Takkanlah pihak produksi sewaktu sesi raptai tak tahu bagaimana persembahannya? Kamu tahu peserta itu tak boleh nyanyi? Kenapa kamu panggil juga?” katanya dalam video itu.

Penyanyi ‘Biso Bonar’ itu juga tidak menafikan gimik atau kejutan memberi impak besar dari segi pemasaran dan rating sesebuah program.

Bagaimanapun, Hattan menegaskan mengambil peserta yang tidak layak hanya akan memalukan industri hiburan secara keseluruhannya.

“Ini seperti yang pernah saya cakap sebelum ini. Dalam program itu ada peserta dari Indonesia. Kalau orang Indonesia tengok beginilah kita punya (penyanyi) kualiti?

“Kasihan 11 (peserta) yang lain bertanding beria-ria. Hanya kerana ada satu atau dua juta pengikut, oh sudah layak? Walaupun persembahan standard begitu, punya sampah,” katanya.

Hattan turut menyuarakan rasa terkilan kerana program yang menampilkan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai juri, tidak mencapai standard yang sepatutnya.

“Kita kena ada jati diri, ada maruah. Nyanyi, nyanyi juga, maruah sangat penting. Kepada pihak produksi, fikirlah secara waras sebelum buat keputusan untuk buat satu-satu programlah,” katanya.

Teka-teki mengenai peserta ke-12 Big Stage 2022 terungkai selepas Iqbal muncul mengejut pada konsert pengenalan pada Ahad lalu.

Nyanyian bekas pembantu Datuk Seri Vida itu menerusi lagu Bila Bulan Berbicara nyanyian asal Broery Marantika mendapat kecaman hebat kerana dikatakan ‘ tidak sedap’.

Sebelum ini, pihak Astro merahsiakan identiti peserta ke-12 dan diuar-uarkan sebagai kejutan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here