Bersatu kekal menyokong Kerajaan Pusat sekarang walaupun bakal berdepan sekali lagi dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin berkata keputusan itu memikirkan kepentingan rakyat yang masih bergelut untuk membina kehidupan dan situasi semasa kes Covid-19 yang semakin meningkat kebelakangan ini.
“Bersatu fikir kepentingan rakyat dan negara supaya rakyat tak terkorban disebabkan langkah bodoh kita dan hanya fikir kepentingan parti.
“Nanti rakyat akan cakap apa yang cuba anda lakukan? Fasal push button (tekan butang), tarik sokongan ini, adakah wajar? Hanya untuk kepentingan saya atau parti tertentu sahaja?
“Kerana rakyat akan fikir apalah sikap ahli politik ini yang asyik fikirkan soal kuasa sahaja,” katanya seperti dilaporkan Malaysia Gazette.
November tahun lalu, Muhyiddin dilaporkan berkata beliau tidak takut untuk “menekan butang” dan menumbangkan kerajaan negeri Johor susulan kritikan daripada pemimpin Umno.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan pada 22 Januari lalu selepas diperkenankan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar. Pembubaran itu dimohon oleh Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.
Mengenai PRN Johor, beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mahu kelonggaran untuk berkempen di sebalik penularan varian Omricon bagi membolehkan pengundi menilai kemampuan calon bertanding.
“Seperti di PRN Melaka, ada pengundi yang tidak mengenali calon mereka kerana tidak boleh berkempen dan hanya dibenarkan pertemuan di restoran,” katanya.-Malaysiapost

