AKTIVIS masyarakat Kuan Chee Heng atau dikenali sebagai Uncle Kentang mengesahkan dirinya positif Covid-19 kategori 4A yang memerlukan bantuan oksigen untuk bernafas.
Dalam hantaran di Facebook, beliau meminta orang ramai mendoakan cepat sembuh daripada wabak berkenaan. Bagaimanapun, Chee Heng tidak memaklumkan hospital beliau dirawat.
“Sila doakan untuk saya sembuh, Kategori 4A Covid-19 positif. Bubuh oksigen,” katanya hari ini.
Hantarannya itu mendapat perhatian ramai yang mendoakan aktivis masyarakat itu cepat sembuh antaranya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Semoga cepat sembuh Kuan Chee Heng. Get well soon,” tulis ahli parlimen Pekan di ruangan komen hantaran Chee Heng itu.
Chee Heng dikenali sebagai aktivis serta sukarelawan kemanusiaan yang giat menjalankan pelbagai misi bantuan kepada golongan memerlukan.
Antara inisiatif dilaksanakannya adalah menyediakan van jenazah dan ambulans secara percuma.-Malaysiapost

