KRC bukti kerajaan komited bangunkan kawasan luar bandar

0
2

KERAJAAN Keluarga Malaysia tetap komited membangunkan kawasan luar bandar yang kurang membangun dalam negara, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata ia terbukti dengan kejayaan mewujudkan projek Kedah Rubber City (KRC) yang diyakini mampu menjadi pemangkin transformasi sosioekonomi negara, sekali gus memajukan masyarakat luar bandar.

Beliau berkata, KRC akan menjadi taman perindustrian getah khusus mesra alam pertama di Malaysia yang dijangka mampu mengekalkan pertumbuhan semasa Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Kedah khususnya.

“Projek ini turut mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menyampaikan pembangunan berskala besar ke kawasan kurang membangun di negara ini,” katanya pada Majlis Perasmian Projek Strategik NCER-KRC di Padang Terap, hari ini.

Ismail Sabri berkata, sambutan terhadap KRC sehingga kini amat menggalakkan apabila menarik pelaburan bernilai kira-kira RM4 bilion yang dijangka mewujudkan 7,000 peluang pekerjaan baharu kepada Keluarga Malaysia.

“KRC adalah salah satu daripada pelbagai projek ‘game changer’ yang dilaksana Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama kerajaan negeri untuk mentransformasi Kedah sebagai negeri maju, sekali gus merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.

“Malah KRC kini berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran pelaburan swasta RM10 bilion menjelang 2025 iaitu lima tahun lebih awal daripada sasaran asal 2030.

“Pelaburan ini bakal mewujudkan kira-kira 15,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, bukan sahaja di Padang Terap malah di Kedah secara keseluruhannya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here