PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dikunjungi Syed Saddiq Abdul Rahman, antara lain membincangkan strategi serta perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pertemuan itu berlangsung hanya beberapa hari selepas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu mengkritik wakil rakyat PKR di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ulu Tiram.
Menurut Anwar, pertemuan dengan Syed Saddiq turut membincangkan soal masa depan dan perihal pembangunan anak muda di negara ini.
“Kami juga turut menyentuh tentang strategi dan perjalanan Pilihanraya Umum Johor yang akan berlangsung tidak lama lagi,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Sabtu lalu Syed Saddiq memohon maaf kepada PKR susulan hantaran di Facebook yang seolah-olah ‘menyerang’ seorang wakil rakyat parti itu di Johor.
Ahli Parlimen Muar berkenaan mengakui kesilapannya membuat hantaran berhubung lawatannya ke Ulu Tiram yang telah merendahkan tugas dan tanggungjawab Adun kawasan itu, S Gopalakrishnan.
Terdahulu dalam hantaran berasingan di Facebook, Syed Saddiq seolah-olah menyerang dan membidas Gopalakrishnan yang didakwa tidak mengambil peduli kebajikan rakyat di DUN Ulu Tiram.
“Komuniti India di Ulu Tiram mengadu, pimpinan di sini tak ambil endah kebajikan rakyat. Dipilih oleh rakyat, dapat peruntukan tapi amanah rakyat dibuang.
“Bantuan yang sepatutnya rakyat dapat, tak sampai. Tak bertanggungjawab. Rakyat di Ulu Tiram dah muak. Nak perubahan, nak pimpinan yang berkhidmat untuk rakyat,” katanya.
MUDA dijangka bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam PRN Johor. – Malaysiapost

