MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata Malaysia kini telah berada sepenuhnya di dalam gelombang Omicron.
Susulan itu beliau berkata kes harian Covid-19 dijangka mencecah sehingga 15,000 tidak lama lagi.
“Masih ada sejuta warga emas yang tiada dos penggalak. Tolong maklum kepada orang-orang tua kesayangan anda untuk mendapat dos penggalak dengan segera,” katanya menerusi ciapan di Twitter hari ini.
KES harian Covid-19 di Malaysia terus mencatatkan peningkatan mendadak, melebihi angka 10,000 buat pertama kali dalam tempoh lebih empat bulan.
Terbaharu sebanyak 10,089 kes dilaporkan hari ini, iaitu peningkatan hampir 1,000 kes berbanding 9,117 semalam, dipercayai akibat penularan varian Omicron.
Kali terakhir kes di Malaysia melebihi angka 10,000 ialah 10,915 yang dicatatkan pada 2 Oktober tahun lalu.
Angka terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes terus meningkat kepada 2,914,220. – Malaysiapost

