Pembinaan 5,000 unit ‘council home’ ringankan beban rakyat 

0
1
Flat

PEMBINAAN 5,000 unit ‘counsil home’ yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mampu membantu meringankan beban dan meningkatkan kualiti kehidupan warga kota. 

Bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Batu, Gulam Muszaffar Ghulam Mustakim berkata pembinaan rumah terbabit menerusi Pakej Kesejahteraan Keluarga Malaysia Kuala Lumpur (PKKMKL) untuk disewakan kepada warga kota, disifatkan satu usaha yang baik. 

Menurutnya, ia adalah kesinambungan dari inisiatif kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dilancarkan oleh bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada tahun 2018 yang mana 1,200 unit “council home” dibina di Kampung Sungai Udang, Segambut. 

Beliau berkata, ia adalah idea dan konsep dari Pemuda Umno Wilayah Persekutuan diketuai Datuk Mohd Razlan Rafii ketika itu. 

“Alhamdulillah kini cadangan yang tergendala di bawah kerajaan PH disambung semula. Yang cantiknya cadangan dari rakyat bawahan diberi perhatian pemimpin utama ketika itu. 

“Akhir kata kami, mantan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan 2013-2018 rasa sedikit bangga usaha, idea dan tenaga dicurahkan telah membuahkan hasil untuk warga muda kota,” katanya. 

Semalam, Ismail Sabri mengumumkan PKKMKL bagi meningkatkan kualiti kehidupan rakyat terutama warga bandar raya ini. 

Antara perkara untuk dilaksanakan adalah bagi menjamin kehidupan yang sihat, DBKL menyediakan laluan pejalan kaki, laluan basikal dan jaringan hijau dengan mengutamakan keselesaan dan keselamatan pengguna. 

Termasuk DBKL akan membina 5,000 ‘council home’ dengan keluasan minimum 750 kaki persegi untuk disewakan kepada warga kota. 

Selain itu DBKL akan melaksanakan pembaikan melibatkan 306 lif di 31 lokasi Projek Perumahan Rakyat dan Perumahan Awam (PPR/PA) dalam tempoh dua tahun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here