Jika perlu, PRN Johor boleh ditunda hingga gelombang Omicron reda – Najib 

0
1

Najib Razak 

SAYA perhatikan ramai yang risau berhubung peningkatan kes baharu Covid ke 9,117 kes semalam – iaitu tiga kali ganda berbanding kadar purata 3k-4k pada Disember lepas. 

Pada hari sama juga, Indonesia umum 32,211 kes baharu (dengan 42 kematian) berbanding kurang 200 kes baharu pada Disember. 

Negara jiran Singapura pula umum 13,208 kes baharu (dengan 6 kematian) berbanding sekitar 200 kes pada Disember juga.

(13,208 kes ini bersamaan dengan 80,000 kes sehari di Malaysia jika mengikut nisbah saiz penduduk) 

Biarpun kes baharu melonjak berpuluh kali ganda, negara-negara jiran tidak melaksanakan apa-apa langkah lockdown atau sekatan baharu. 

Sebaliknya banyak negara-negara lain sedang melonggarkan lagi atau menghapuskan sepenuhnya sekatan Covid biarpun kes baharu ketika ini sedang cecah rekod tertinggi. 

Kenapa begitu pula? Ini kerana situasi Covid ketika ini sudah jauh berbeza berbanding masa Covid bermula susulan kadar vaksinasi dunia yang tinggi serta kemunculan varian Omicron yang jauh lebih mudah berjangkit tetapi tidak gejala kurang serious berbanding varian lain yang telah ganti varian-varian lain untuk menjadi dominan. 

Situasi ketika ini boleh dijelaskan melalui trend graf Covid-19 bagi seluruh dunia. 

1. Jumlah kes baharu Covid seluruh dunia semakin cecah rekod tertinggi – iaitu 4 kali ganda lebih tinggi berbanding paras tertinggi pada tahun 2021. 

2. Kadar kematian Covid berbanding kes Covid (Case fatality rate) yang semakin menurun ke paras paling rendah iaitu 10 kali ganda lebih rendah berbanding paras tertinggi. 

Negara-negara dalam dunia juga mula sedar bahawa mereka tidak mampu lagi membuat lockdown berpanjangan sebab kesan negatif pada kehidupan rakyat dan ekonomi negara adalah jauh lebih besar. 

Pakar-pakar juga meramalkan bahawa amat susah untuk mengelak dijangkiti varian Omicron sebab varian ini terlalu mudah berjangkit biarpun gejala-gejalanya biasanya tidak wujud atau ringan berbanding varian-varian sebelum ini. 

Sebab itu langkah pengesanan kontak rapat seperti dibuat pada masa dahulu juga tidak relevan lagi. 

Gelombang Omicron juga biasanya lebih pendek dan akan reda dalam masa yang singkat seperti dialami negara Afrika Selatan yang merupakan negara pertama dilanda Omicron. 

Kementerian Kesihatan juga telah meramalkan kes baharu Covid-19 akan terus meningkat pada jangka masa dekat tetapi mereka juga suruh kami jangan panik. 

Oleh sebab situasi Covid-19 ketika ini sudah jauh berbeza maka strategi dunia untuk melawan atau membendung Covid-19 juga turut berbeza. 

Yang paling penting ialah kadar penggunaan katil hospital, jumlah pesakit Covid-19 dalam wad ICU serta jumlah kematian Covid-19 yang masih pada tahap rendah kebelakangan ini berbanding dahulu. 

Selagi ia pada paras terkawal, kerajaan tidak patut melaksanakan lockdown. 

Namun sekiranya kadar penggunaan hospital dan ICU pada tahap kritikal, kerajaan boleh pertimbangkan lockdown amat ketat dan singkat yang tidak boleh melebihi 7 hari sebagai langkah “pemutus litar” (circuit breaker) pada peringkat negeri atau daerah untuk meredakan keadaan buat seketika. 

Saya percaya rakyat tidak sanggup lagi dikurung berbulan-bulan lamanya dengan PKP separuh masak seperti yang dlaksanakan kerajaan dahulu. 

Bagaimanapun, ini tidak bermaksud rakyat Malaysia boleh lalai atau leka. 

Kita perlu terus mengikut SOP, sering buat ujian kendiri dengan kit RTK yang sudah murah serta membuat kuarantin kendiri sekiranya positif. Dan jika kurang sihat atau ada selsema, sila elak untuk keluar rumah. 

Kita juga perlu memastikan setiap rakyat menerima dos penggalak manakala kanak-kanak sekolah divaksin sebab ini adalah langkah terbaik untuk melindungi diri dari varian Omicron ketika ini.


Biarpun, kadar kemasukan hospital dan kematian telah jatuh mendadak, kebimbangannya ialah jumlah kes akan melonjak terlalu tinggi pada masa yang terlalu singkat sehingga ia memberi tekanan pada sistem kesihatan kita. 

Berdasarkan pandangan serta nasihat KKM dan MKN, PRN Johor boleh juga ditunda buat seketika sehingga gelombang Omicron ini reda jika ada keperluan. 

Paling penting ialah rakyat tidak terlebih risau atau kurang selesa untuk mengadakan PRN pada ketika ini. 

Sebagai permulaan, saya harap semua rakyat yang pulang dari kampung selepas merentas daerah atau negeri pada perayaan minggu lepas boleh membuat ujian kendiri pada hari ini. 

Penulis ialah bekas Perdana Menteri

(Artikel ini dipetik sepenuhnya daripada Facebook Najib Razak)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here