PRN Johor penanda aras prestasi BN dalam PRU15 – Ku Li 

0
2

VETERAN Umno, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah beranggapan meskipun jika Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, ia tidak memberi jaminan parti itu dapat menakluki Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang. 

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, PRN Johor akan menjadi penanda aras untuk menentukan prestasi  BN dalam PRU15. 

Katanya, tiada parti yang dilihat akan mendapat majoriti mudah pada PRU15 sebaliknya negara akan berdepan situasi berlakunya kerajaan campuran. 

“Kalau kita menang dengan baik di Johor ia tidak bererti kita terjamin mendapat majoriti yang kuat dalam Parlimen sekiranya diadakan PRU15. 

“Kita terpaksa kena berkongsi kuasa yang mana kita kena pakat dengan parti-parti yang sanggup bekerjasama dengan kita. 

“Dalam masa sama, parti-parti itu kita letakkan syarat mereka tidak boleh bertentangan dengan Umno sebagai mana Perhimpunan Agung Umno menentukan tiada kerjasama dengan Bersatu, Muafakat Nasional,” katanya memetik laporan Malaysia Gazette hari ini. 

Beliau ditemui media pada Forum Perpaduan 2022 sempena Sambutan Ulangtahun-19 Majlis Perundingan Muhibbah Negeri Pulau Pinang (MPMNPP) di Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini. 

Tambahnya, PRU15 wajar diadakan terlebih dahulu berbanding pemilihan Umno, antara lain bagi membolehkan rakyat menentukan mandat yang jelas sekali gus menghentikan ketidakstabilan politik negara. 

“Kalau kita lihat sekarang tiada ketentuan dalam negara yang mana tiga kali kerajaan bertukar dalam tempoh dua tahun sedangkan kos sara hidup kian meningkat. 

“Negara berduit tak kisah inflasi tapi kita hutang banyak iaitu lebih RM1.3 trilion jadi di mana kita nak pinjam untuk selesaikan beberapa krisis yang melanda negara. 

“Pemilihan Umno boleh dibuat bila-bila masa. Kita nak selesaikan soal rakyat dulu, kehidupan rakyat mesti dibela jadi saya setuju PRU dilakukan dulu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here