Ada pihak siap sedia merayakan PAS dan Umno “putus hubungan” 

0
1

BIARPUN panas dan tegang situasi politik semasa berikutan berbalas “serangan” antara PAS dan Umno, ia akan segera reda dan hubungan adik-beradik ini kembali jernih, kata Pengerusi Lajnah Dakwah PAS, Nasrudin Hassan. 

Harapan itu dizahirkan beliau kerana memahami terdapat pihak yang sedang bersiap sedia untuk merayakan “putus hubungan” antara PAS dan Umno. 

Ini katanya, selepas kedua-dua parti itu dapat ditautkan kembali setelah puluhan tahun lamanya bertelagah. 

“Musuh Islam tentunya sangat gembira melihat terlerainya perpaduan ummah yang dipalu sekian lama. Mereka gembira kerana berjaya memecah belahkan umat Islam. 

“Mereka gembira kerana peluang berkuasa kembali terbuka dengan berlaku perpecahan dari kalangan umat Islam. 

“Selama ini mereka sangat takut umat Islam bersatu. Ia menjadi kekuatan yang menggelapkan masa depan dan harapan mereka untuk kembali bertakhta di bumi bertuah ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini. 

Nasrudin yang juga Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) berharap kemelut PAS – Umno segera berakhir dengan kedua-dua pihak mengambil langkah positif menamatkan sengketa lalu bertolak ansur dalam menangani perbedaan. 

“Mengutamakan masa depan umat Islam dengan menyedari juga persiapan musuh yang tidak pernah surut untuk melemahkan pegangan politik umat Islam,” katanya. 

Beliau menambah, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah menyebut bahawa PAS dan Umno tidak boleh “berkahwin” kerana kedua-dua parti politik itu sebenarnya  adalah “adik beradik”. 

“Menarik ungkapan yang mengumpamakan PAS dan Umno sebagai adik beradik. Ia menggambarkan betapa dekatnya kedudukan antara PAS dan Umno di pentas politik tanahair. 

“Umumnya memahami bahawa adik beradik, meskipun ada perbalahan antara mereka namun ia tidaklah serius dan berpanjangan. “Tidak akan putus air dicincang” antara bidalan yang biasa dirujuk kepada perbalahan adik beradik. 

“Tanpa dinafikan, terdapat adik beradik yang bukan setakat berbalah malah berbunuhan antara satu sama lain. Perkelahian mereka muktamad lalu memutuskan hubungan. Namun ia kes tertentu yang tidak terpakai pada keadaan umum dan normal,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here