Annuar Musa nasihat Wan Saiful, tumpu parti sendiri dahulu

0
2

KETUA Umno Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menasihati Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan supaya memberi tumpuan terhadap parti sendiri daripada berterusan menyerang Umno.

Ia susulan kenyataan Wan Saiful yang mencabar tiga pemimpin Umno Johor supaya menamakan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai calon Perdana Menteri.

“Saya perhatikan sehari dua ni saudara Datuk Wan Saiful Wan Jan (WSWJ) bertubi tubi menyerang Umno. Mungkin bagi WSWJ ia perlu dilakukan kerana tak lama lagi ada PRN di Johor.

“Nasihat saya pada WSWJ supaya tumpu pada partinya dulu dari menyerang Umno, khususnya Umno Johor.

“Umno ada cara kita sendiri. Umno bukan setahun Jagung. Umno juga bukan serpihan. Umno ada sejarah dan wibawanya sendiri. Begitu juga Umno Johor,” kata Annuar menerusi hantaran di Facebooknya.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia itu, “poster boy” bukan isunya di Johor sebaliknya Umno dan Barisan Nasional (BN) Johor, setelah meneliti semua sudut merasakan mandat perlu dikembalikan kepada rakyat dan Bangsa Johor.

Katanya, ia agar terbentuk sebuah kerajaan negeri lebih stabil dan dapat menumpukan sepenuhnya usaha membangunkan Johor dan membela rakyat negeri itu.

“Kepimpinan Umno Johor merupakan satu saf kepimpinan yang amat baik, berpengelaman dan istiqamah dalam perjuangan politik.

“Mungkin tidak semua, tapi rata-rata Johor melahirkan pemimpin berkualiti. Apa lagi dalam isu negeri dan rakyat Johor, orang Johor lebih tahu tentang negeri mereka,” katanya.

Sehubungan itu Annuar berkata, menyerang Umno bertubi-tubi tidak membawa ke mana-mana kerana politik kini memerlukan hemah dan kebijaksanaan aras tinggi.

“Tumpu kepada perkara asas dan dasar. Tumpu kepada usaha mensejahterakan rakyat serta menghurai agenda masa depan. Tumpu juga kepada jalan penyatuan dan muafakat Melayu yang kini kembali rumit.

“Usaha melunakkan hubungan politik orang Melayu dan umat Islam mesti diteruskan. Agenda muafakat yang pernah terbentuk, tidak harus kita kesampingkan begitu saja.

“InsyaAllah walau berlaku PRN di Johor, agenda kebersamaan orang Melayu dan umat Islam mesti kita teruskan. Justeru bersederhana itu adalah sebaik-baik cara untuk semua pihak,” katanya.

Semalam Wan Saiful sekali lagi mencabar tiga pemimpin Umno Johor untuk menamakan Ahmad Zahid sebagai calon Perdana Menteri.

Selepas kali pertama cabaran dibuat di Sembrong, Wan Saiful sekali lagi meminta Datuk Mohd Puad Zarkashi, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menamakan Presiden Umno sebagai calon Perdana Menteri.

Dua hari lalu, Wan Saiful dilaporkan berkata sekiranya mereka tidak berani menamakan Ahmad Zahid sebagai calon Perdana Menteri, jangan pula menyerang Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ada orang Johor cabar Muhyiddin jadi ‘poster boy’ Perikatan Nasional (PN) di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Ini saya cabar balik Puad Zarkashi, Nur Jazlan Dan Khaled Nordin, kalau kamu berani cuba sebut siapa kamu nak namakan sebagai calon Perdana Menteri dari Umno selepas PRU15.

“Saya cabar namakan Zahid jadi calon PM Umno. Kalau pengecut sebut Zahid, jangan sebut Presiden Bersatu,” katanya.

Sebelum itu Puad mengulangi cabaran supaya Muhyiddin dijadikan ‘poster boy’ PN di PRN Johor seperti dilakukan parti itu di Melaka. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here