KETUA Bersatu Cawangan Desa Harmoni di Johor, Mohd Zahid Ismail serta sekumpulan ahlinya memgumumkan keluar parti sekali gus membubarkan cawangan parti tersebut malam tadi.
Perkembangan itu dimaklumkan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang turut dijemput pada majlis pengumumkan keluar parti tersebut.
Menurut Mohamed Khaled, beliau percaya ia bukan gimik politik atau tindakan berdasarkan habuan dan balasan.
Sebaliknya katanya, keputusan dan pertimbangan dibuat selepas mereka saksikan ketidakstabilan dan tidak mempunyai hala tuju parti Bersatu itu sendiri.
“Apa pun, keputusan meninggalkan Bersatu mesti disusuli dengan usaha dan tindakan menguatkan Umno dan memenangkan calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding di DUN Johor Jaya.
“Mereka berikrar untuk bersama mewujudkan kerajaan yang kuat, stabil dan kukuh melalui BN dalam PRN kali ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Mohamed Khaled yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata, kumpulan bekas ahli Bersatu itu menzahirkan rasa kesal menyokong parti yang manifestonya tidak pragmatik, tidak realistik yang menjanjikan bulan dan bintang namun akhirnya tidak terlaksana.
“Mereka berikrar memastikan Johor menjadi negeri yang kembali ke pangkuan BN demi kestabilan dan perlaksanaan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat,” katanya. – Malaysiapost

