PERDANA Menteri mengumumkan pembinaan sebanyak 5,000 unit rumah khas atau council home di Kuala Lumpur sebagai usaha kerajaan untuk memberi keselesaan kepada warga kota yang memerlukan.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata inisiatif di bawah Pakej Kesejahteraan Keluarga Malaysia Kuala Lumpur (PKKMKL) itu akan membolehkan warga kota menyewa kediaman kondusif dengan keluasan minimum 750 kaki persegi.
Beliau turut mengumumkan kerja pembaikan lif oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membabitkan 306 buah lif di 31 lokasi Projek Perumahan Rakyat dan Perumahan Awam dalam tempoh dua tahun.

“Bagi menjamin keselamatan warga kota, tahap keselamatan di Kuala Lumpur dipertingkatkan dengan melakukan pemantauan melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang dikawal oleh Kuala Lumpur Command & Control Centre,” katanya berucap sempena sambutan ulang tahun Bandaraya Kuala Lumpur ke-50 malam ini.
Ismail Sabri berkata pelbagai lagi inisiatif disediakan di bawah PKKMKL yang disediakan khusus untuk meningkatkan kualiti kehidupan warga kota yang kini berjumlah dua juta penduduk iaitu:
- Sedia laluan pejalan kaki, laluan basikal dan jaringan hijau
- Naik taraf gerai penjaja usang termasuk kelompok gerai di tepi jalan yang berlesen untuk menggerakkan ekonomi
- Menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya sifar miskin tegar
- Tingkat penyampaian perkhidmatan dengan meluluskan lesen premis perniagaan dalam tempoh 24 jam dan keputusan dalam tiga hari untuk permohonan permit pembinaan berskala kecil
- Rebat 10 peratus bagi pembayaran urusan secara dalam talian

